TAWAU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam memastikan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mencapai matlamatnya.
Beliau memetik projek Ferti-Chillipreneur Komuniti Lestari (FCPKL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Tawau Sabah sebagai contoh yang boleh membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri dan rakyatnya melalui pertanian, satu daripada tiga teras utama SMJ.
Berucap pada majlis penyampaian surat tawaran kepada peserta FCPKL di kampus UiTM Sabah Tawau di sini petang Selasa, Hajiji berkata komitmen UiTM untuk menyumbang kepada masyarakat melalui pemindahan ilmu dan perkongsian teknologi pintar khususnya kepada golongan B40 wajar dipuji.
“Penglibatan pelajar secara langsung sebagai jurulatih boleh menyemai pemikiran pertanian moden melalui transformasi pertanian ke arah daya saing lebih berteknologi tinggi, dinamik dan global.
“Ini bertepatan dengan matlamat utama projek iaitu menggunakan teknologi pintar dalam penanaman cili secara fertigasi. Projek ini memberi penekanan sepenuhnya kepada agenda pertanian moden dengan memanfaatkan pangkalan data, teknologi pertanian pintar dan Internet Kebendaan (IoT),” tambahnya.
Ketua Menteri berkata, modal insan yang progresif dan berkualiti merupakan salah satu faktor yang menyokong transformasi dan pemodenan industri pertanian yang seterusnya membantu meningkatkan produktiviti, pemprosesan dan pemasaran lebih sistematik serta memastikan bekalan makanan domestik mencukupi dan untuk eksport.
Kerajaan Sabah berharap projek itu akan mewujudkan limpahan ekonomi di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kawasan berhampiran.
Program dua tahun itu melibatkan 120 peserta khususnya ibu atau bapa tunggal, pesara tentera, golongan berkeperluan khas dan graduan menganggur mengusahakan tanah seluas 100 ekar.
Hajiji turut memuji kumpulan penyelidik UiTM Sabah - LESTARI kerana memulakan projek bernilai RM7.5 juta yang diperoleh melalui Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).
UiTM Sabah juga telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) untuk kerjasama strategik.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN) komited dengan agenda pembangunan untuk rakyat dan negeri, khususnya melalui pertanian yang memperuntukkan RM561.81 juta dalam Bajet 2022 untuk sektor ini.
Menurutnya, beberapa kejayaan telah pun dicapai dalam mempertingkatkan sektor pertanian negeri antaranya, projek tanaman kelapa hasil tinggi seluas 2,000 hektar yang dilancarkan di Paitan, Beluran pada Mac tahun ini.
Setelah beroperasi sepenuhnya, projek pelaburan berimpak tinggi di bawah rancangan SMJ itu, dijangka menjana RM1.2 bilion setiap tahun dan menyediakan 4,000 pekerjaan untuk penduduk tempatan.
“Pemerkasaan agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia adalah antara matlamat utama Rancangan Malaysia Ke-12 lima tahun yang menyasarkan 15 peratus sumbangan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
“Sebanyak RM11.4 bilion telah diperuntukkan pada 2022 bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera diberi keutamaan bagi merapatkan jurang antara kaum di Malaysia,” katanya.
Daripada jumlah itu, beliau berkata RM4.8 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan program pembinaan kapasiti dan pembiayaan perniagaan. Objektif ini adalah selaras dengan rancangan keempat dan kelima Sabah Maju Jaya1.0 untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan membina modal insan, khususnya masyarakat tempatan di Sabah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong; Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ts Dr Hajah Roziah Mohd Janor; Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Datuk Md Silmi Abdul Rahman; Pembantu Menteri Kewangan Datuk Nizam Titingan; Menteri Muda Belia dan Sukan Andi Muhammad Suryady Bandy dan Adun Balung Hamidd @ Hamid Awang.