Kota Kinabalu: Pemain badminton Para Sabah kembali dengan membawa dua perak dan empat gangsa pada Kejohanan Badminton Para-Badminton Kebangsaan (litar dua) yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shah Rizan Daud memperoleh perak dalam kategori perseorangan lelaki SU 5 dan dia turut menyumbang satu lagi perak dalam beregu lelaki bersama Gerald H. Simbaku VII.
Gangsa disumbangkan oleh Mohd Asrun Mahadi dan Jerald Jaudy dalam kategori perseorangan lelaki SL3, Gerald H.Simbaku VII dalam perseorangan lelaki SU5 dan Rahim Tinggal bersama pasangannya dari Melaka Fareezul Mohd Sapri dalam kategori gabungan SL3/SL4.
Presiden Pesron Sabah (Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Sabah) Tan Hwa Koon dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis mengucapkan tahniah kepada pasukan yang diketuai jurulatih Ag. Hazierul Ag. Daud.
Beliau menggesa pemain mengambil iktibar daripada pengalaman itu dan berharap jurulatih dapat memperbaiki kelemahan mereka sebelum Para-Sukma akan datang yang dijadualkan berlangsung pada November.