Kota Kinabalu: Satu laporan polis dibuat seorang guru dari Kedah yang mendakwa dia dan dua rakannya mengalami kerugian RM18,000 angkara seorang lelaki yang mendakwa sebagai malim gunung.
Athirah Mad Desa, 31, membuat laporan polis di balai polis Tanjung Aru di sini pada 8 September sebelum berlepas pulang ke Kedah dengan impiannya mendaki Gunung Kinabalu tidak kesampaian.
“Seorang rakan mencadangkan agar saya berhubung dengan seorang wanita dikenali sebagai Azmina yang bertindak sebagai orang tengah untuk proses pendaftaran.
“Saya menghubunginya dan dia menasihati saya untuk membayar RM500 sebagai bayaran permulaan, termasuk deposit RM850 lagi, untuk pendakian melibatkan aktiviti Ferrata,” katanya kepada Harian Ekspres.
“Wanita itu memberitahu saya bahawa tempahan saya ditetapkan pada 5 September dan wang yang saya bayar berjumlah RM1,350 telah didepositkan kepada kenalan malim gunungnya, ‘John’.
“Apabila saya tiba di Kota Kinabalu bersama tiga lagi pendaki pada 3 September, kami dimaklumkan slot kami telah dipindahkan ke 6 September.
“Apabila kami sampai di Taman Kinabalu, kami diberitahu bahawa nama kami tidak ada dalam senarai walaupun kami menjelaskan bahawa kami telah membayar untuk slot pendakian dan nama malim gunung kami ialah ‘John’,” katanya.
Guru itu mendakwa cubaannya untuk menghubungi ‘John’ tidak berhasil.
“Saya kemudian menghubungi Azmina yang memaklumkan bahawa ‘John’ mempunyai beberapa masalah dengan akaun banknya tetapi berjanji untuk membuat bayaran balik.
“Selain hakikat bahawa kami masih belum menerima bayaran balik, situasi itu memaksa kami pulang ke Kedah tanpa dapat mencapai impian kami untuk mendaki Gunung Kinabalu.
“Kami kini trauma untuk menempah sebarang pakej pelancongan di Sabah. Saya membuat laporan polis dan mahu polis menyiasat agar pengunjung lain ke Sabah tidak mengalami perkara yang sama,” katanya.