Kota Kinabalu: Datuk Ong Kim Swee mengakui kesilapan sendiri apabila Sabah FC tewas 2-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam Sabtu.
Ia adalah kekalahan kedua oleh Red Giants selepas kemenangan di suku akhir 2-0 ke atas Sabah FC dalam saingan Piala FA pada Julai lepas.
Malam itu dimulakan dengan suasana muram bagi Rhinos apabila mereka membenarkan pasukan pelawat mendahului dua gol dalam masa dua minit.
Rembatan kencang Mukhairi Ajmal pada minit ke-23 menemui gawang walaupun penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat cuba sebaik mungkin untuk menafikan jaringan itu.
Seminit kemudian, kapten Brandan Gan berjaya melepasi Park Taesu untuk menewaskan Khairul dari jarak dekat untuk melebarkan kelebihan mereka.
Seperti pada dua perlawanan terakhir, Sabah FC berjaya bangkit dan kali ini, Baddrol Bakhtiar menjaringkan gol pertama untuk pasukan pada minit ke-30 menerusi sepakan percuma yang disempurnakan dengan baik di luar kotak penalti.
Penyerang import Sabah, Jose Embalo yang mendapat kritikan ramai penyokong sejak ketibaannya semasa jendela terbuka mendiamkan pengkritiknya menerusi gol penyamaan pada minit ke-41.
Gol pertamanya untuk pasukan itu mempamerkan kemahiran individunya apabila berjaya mencari ruang walaupun kehadiran tiga pemain Selangor di hadapannya untuk menemui gawang melepasi penjaga gol.
Sabah terlepas peluang untuk mendapatkan gol ketiga walaupun mencipta banyak peluang dan dihukum pada minit ke-76 selepas Hein Htet mengatasi Jackson de Souza untuk menjaringkan gol kemenangan.
Ong berkata, keletihan untuk menghasilkan kebangkitan dalam permainan selepas melepaskan dua gol awal adalah antara faktor kekalahan.
“Selepas melepaskan dua gol, kami perlu kembali bangkit dan cuba mendapatkan gol, tetapi kami juga menggunakan banyak tenaga kerana kami perlu menyerang dan pada masa sama perlu bertahan.
“Pada separuh masa kedua, kami sedikit letih. Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal untuk mendapatkan penyudah.
“Kami kemudian kehilangan konsentrasi sekali lagi yang menghasilkan gol ketiga dan kali ini kami gagal mencari gol penyamaan,” katanya.
Beliau juga berharap jaringan daripada Jose Embalo akan memberikannya keyakinan yang amat diperlukan untuk empat lagi baki perlawanan.
Sementara itu, Sabah FC kekal di tangga kedua dengan 36 mata walaupun tewas, tetapi hanya satu mata di hadapan Negeri Sembilan di tempat ketiga dan mereka seterusnya akan menentang Terengganu di tempat lawan pada 1 Oktober.