TIMBALAN Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pusingan-U sementara telah dibina bagi semua laluan yang terjejas oleh tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Sepanggar di Kota Kinabalu.
Beliau berkata tuduhan bahawa Kerajaan tidak menyediakan kemudahan sedemikian adalah palsu dan boleh mengelirukan rakyat, di samping menyukarkan pembinaan lebuh raya.
Menurutnya, beliau menerima aduan daripada pihak pembangkang yang mengatakan laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sepanggar sehingga ke Bulatan Berungis, Sepanggar tidak disediakan pusingan-U.
“Sebenarnya, pusingan-U sementara telah dibina di lokasi yang dimaksudkan dan dakwaan laluan 12km tanpa pusingan-U itu adalah palsu dan tidak berasas.
“Mereka ini tidak faham dan cuba mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 Sept.
Bung berkata walaupun terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kontraktor yang melaksanakan projek ini, mereka tidak mengabaikan keselamatan dan keselesaan pengguna walaupun berada di puncak kesesakan.
“Saya harap orang ramai bersabar sepanjang tempoh pembinaan ini dan sentiasa mematuhi papan tanda amaran ketika memandu di kawasan pembinaan,” tambahnya.
Beliau menjawab kenyataan Penasihat Komuniti Cina Sepanggar Warisan baru-baru ini yang berkata pengguna jalan raya menghadapi kesukaran menggunakan laluan alternatif di lokasi sepanjang bahagian Sepanggar ke Bulatan Berungis, kerana tiada pusingan-U.
Pengguna jalan raya mengeluh bahawa ketiadaan pusingan-U itu menyebabkan gangguan lalu lintas yang teruk terutamanya pada waktu puncak dan menggesa Kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah itu.