TELUPID: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan meneliti pembangunan aktiviti pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar di Telupid.Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau yakin ia bukan saja mampu menjadi tarikan kepada pelancong asing dan domestik ke daerah ini, tetapi juga akan memberi pulangan ekonomi yang baik khususnya kepada komuniti setempat.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi memastikan pelancongan berasaskan hidupan liar ini dapat direalisasikan, semua pihak perlu bekerjasama dalam menyelesaikan konflik manusia-gajah.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam satu sesi taklimat mitigasi konflik gajah di Telupid, baru-baru ini.
Antara perkara yang dibincangkan ketika taklimat itu termasuk keperluan untuk memasang pagar elektrik sepanjang 1.7 kilometer (km) bagi mengurangkan masalah gangguan gajah.
Ekoran kejadian gajah masuk ke kawasan kampung di Telupid baru-baru ini, Jabatan Hidupan Liar (JHL) dibantu Community Elephant Ranger Team (CERT), PDRM dan beberapa NGO lain telah bekerjasama dalam usaha memindahkan atau translokasi gajah terbabit.
“Sehingga kini, antara usaha yang dijalankan bagi mengurangkan masalah gangguan gajah di Telupid adalah menerusi pemasangan pagar elektrik sepanjang 3km di Kampung Bauto, dan 2.9km di Kampung Gambaron. “Atas usaha itu, dari akhir 2019 sehingga awal tahun ini, tiada kumpulan gajah melepasi kawasan yang telah dipasang dengan pagar elektrik.
“Bagaimanapun, awal tahun ini didapati gajah telah melepasi kawasan pagar elektrik itu kerana unit panel solar telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, menyebabkan pagar itu tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.
Justeru itu, Jafry memohon kerjasama semua pihak agar tidak sesuka hati mencuri harta benda yang boleh menyebabkan seluruh pagar eletrik gagal untuk berfungsi, sehingga mendatangkan masalah lebih besar, khususnya kepada masyarakat setempat apabila gajah ini terlepas dari kawasan yang telah dipagar.
Sehubungan itu juga, beliau meminta agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyalurkan dana tahunan khas bagi menampung kos operasi dan menyelenggara pagar elektrik sedia ada.