Kota Kinabalu: Kontinjen Sukma Sabah perlu kekal positif walaupun mereka gagal mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang baru berakhir di Kuala Lumpur.
Chef de Mission, Mansur Asun berkata demikian selepas kontinjen itu hanya berjaya meraih 30 emas selain 29 perak dan 39 gangsa pada sukan dwitahunan itu.
“Ia sudah tentu mengecewakan untuk tidak dapat merealisasikan impian kita tetapi saya lebih suka melihat kegagalan ini dari sudut positif, dan belajar daripada pengalaman dan saya percaya kita akan kembali dengan lebih kuat pada Sukma seterusnya.
“Kita sudah melakukan persiapan sebaik mungkin dan saya juga berpuas hati dengan semangat juang dan disiplin atlet-atlet dan pegawai-pegawai, ia jelas bahawa pasukan lain juga melakukan perkara sama.
“Walaupun kita tidak mencapai sasaran dalam beberapa sukan, beberapa sukan lain benar-benar menyerlah dan berjaya melepasi jangkaan seperti sukan akuatik, wushu, tenpin boling, karate, petanque dan muaythai.
“Kita juga mempunyai ramai atlet muda yang berpotensi termasuk yang sudah pun cemerlang pada Sukma edisi kali ini seperti Loo Yie Bing yang telah memenangi empat pingat emas dalam acara renang,” katanya.
Mansur turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persiapan dan memberikan sokongan, khususnya sekretariat Sukma Sabah, doktor perubatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pendidikan dan ahli keluarga atlet.
Sementara itu, Sabah telah menghantar kontinjen seramai 466 atlet untuk bertanding dalam 293 daripada 426 acara yang diadakan dalam sukan akuatik (renang dan terjun), badminton, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimnastik (artistik dan gimnastik), hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, tenpin boling, wushu, angkat berat, bola jaring, bola tampar (dalam bangunan dan pantai), bola keranjang, golf, judo, kanu, kriket, muaythai, petanque, sepak takraw ragbi, tenis dan tinju.
Selain tujuh emas yang dimenangi oleh pasukan trek dan padang, mereka turut menyumbang lapan perak dan tiga gangsa, diikuti sukan akuatik dengan enam emas, dua perak dan lima gangsa, karate (3 emas, 2 perak, 7 gangsa), pelayaran (2 emas, 5 perak, 1 gangsa ), muaythai (2 emas, 3 perak, 3 gangsa), wushu (2 emas, 2 perak, 1 gangsa), sepak takraw wanita (2 emas), tenpin boling (2 emas), angkat berat (1 emas, 1 perak, 2 gangsa), tinju (1 emas, 1 perak, 2 gangsa), memanah (1 emas, 1 gangsa), dan petanque (1 emas).
Penyumbang pingat lain ialah berbasikal (1 perak, 1 gangsa), gimnastik (1 perak), judo (1 perak, 2 gangsa), boling padang (1 perak, 1 gangsa), pencak silat (5 gangsa), skuasy (1 perak, 1 gangsa), ragbi (1 gangsa), bola tampar (1 gangsa), bola tampar pantai (1 gangsa).