Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 31 tahun didenda sejumlah RM500,000 atas 50 pertuduhan mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Sabah bagi mendapatkan kontrak membabitkan jutaan ringgit untuk membekal makanan siap masak ke asrama dan sekolah di beberapa daerah di sekitar negeri ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu kepada Rita Pangeran, yang mengubah pengakuannya dan mengaku bersalah kepada pertuduhan alternatif terhadapnya pada Isnin.
Mahkamah memerintahkan Rita membayar RM10,000 atau penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-50, Rita didakwa menggunakan penyata bank palsu yang diperoleh daripada 21 individu, dan kemudian mengemukakan dokumen palsu itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi mendapatkan tender bekalan makanan siap masak ke asrama dan sekolah.
Antara sekolah dan asrama tersebut ialah SMK Pitas II, Pitas; SMK Sepulot, Nabawan; SMK Lohan, Ranau; SMK Bundu Tuhan, Ranau; SK Pekan Pensiangan, Nabawan; SK Ulu Tomani, Tenom; SMK Sook, Keningau; SMK Gunsanad II, Keningau; SMK Kundasang, Ranau; SK Tetagas, Nabawan; SK Kebulu Sook, Keningau; dan SMK Matupang Jaya, Ranau.
Pertuduhan menyatakan bahawa Rita mendapat penyata bank palsu bagi Jun, Julai dan Ogos 2014, 2015 dan 2018 di bawah beberapa syarikat daripada 21 individu untuk mendapatkan kontrak-kontrak antara 2016 dan 2021.
Rita mengemukakan kesemua penyata bank palsu itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri, di sini antara 26 Ogos 2014 dan 6 Nov 2018.
Pertuduhan alternatif didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rita membayar denda itu pada Isnin.
Mahkamah mendengar bahawa 21 individu itu telah menyewakan lesen perniagaan masing-masing kepada Rita yang menguruskan semua proses mendapatkan tender.
Butiran pada semua dokumen penyata bank itu telah ditukar.
Rita telah membayar mereka antara RM1,500 dan RM20,000 sebulan sepanjang tempoh kontrak.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Izzati Sapifee hadir untuk pendakwaan manakala peguam Datu Baginda Datu Laja mewakili Rita.
21 individu yang didakwa bersubahat dengan Rita untuk menggunakan dokumen palsu itu, telah mengaku kepada pertuduhan terhadap mereka dan dijatuhkan hukuman setimpal.