DALAM satu lagi contoh keprihatinan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) terhadap kaum lain, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju melanjutkan pajakan SJKC Chung Hwa Tamparuli, yang tamat tempoh lima tahun lalu, sebanyak 99 tahun lagi.
Pengerusi PIBG George Teo berkata Ketua Menteri telah memberi nafas baru kepada sekolah itu.
“Dari segi undang-undang, kami menjadi setinggan di tanah kerajaan sejak pajakan tamat pada 2017.
“Tindakan Hajiji yang bersetuju untuk melanjutkan pajakan itu memberi kelegaan kepada penduduk Tamparuli, terutamanya ibu bapa,” katanya selepas Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hwa Tamparuli mengadakan kunjungan hormat ke atas Hajiji, baru-baru ini.
Tanah itu pada mulanya diberi milik oleh kerajaan kolonial British kepada Chung Hwa School Tamparuli pada 1957 untuk tempoh 30 tahun bermula 1957, dan kemudiannya dilanjutkan 30 tahun lagi. SJKC Chung Hwa Tamparuli ialah sebuah sekolah rendah bantuan kerajaan.
Pada masa ini, terdapat tiga blok bangunan sekolah itu di tanah tersebut, dengan kira-kira 380 pelajar.
Teo berkata keputusan Kerajaan Negeri itu menunjukkan ia mengambil berat tentang kebajikan rakyat, termasuk pendidikan.
“Sekolah ini bukan sahaja menampung anak-anak penduduk Tamparuli tetapi juga dari kawasan sekitar. Walaupun ia sekolah Cina, kita mempunyai bilangan murid yang ramai dari kaum lain juga,” katanya, selepas kunjungan hormat tersebut.
Teo berkata ini bukan kali pertama Hajiji membantu sekolah itu.
“Awal tahun ini, Hajiji meluluskan sebidang tanah berhampiran sekolah itu yang dipohon 13 tahun lalu.
“Pihak sekolah memohon tanah itu pada 2009 tetapi menerima beberapa bantahan daripada Majlis Daerah Tuaran kerana sebahagian tanah itu sebelum ini merupakan tapak pelupusan sampah awam.
“Bagaimanapun, Majlis Daerah telah menutup tapak pelupusan sampah itu sekitar tahun 2000 dan mengalihkannya ke tempat lain, justeru meninggalkan tanah terbiar.
“Memandangkan tanah itu hanya bersebelahan dengan sekolah, pihak pengurusan sekolah membuat keputusan untuk memohon tanah itu dan pada masa sama membantu menjaganya, termasuk menggaji pekerja untuk memotong rumput,” katanya.
Teo berkata hadiah berganda daripada Hajiji itu menjadikan tahun ini istimewa buat sekolah itu yang akan mencecah usia 82 tahun ini.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah Chang Hon Kong, Timbalan Pengerusi Sim Chee Sing, Setiausaha Johnny Tee, pengetua dan ahli lembaga sekolah serta Penasihat Undang-undang Lembaga Pengarah Datuk Richard Chua.