Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 34 tahun yang mengambil dadah buat kali keenam, dipenjara tujuh tahun.
Surfaiza Usman mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, kepada pertuduhan terhadapnya pada Rabu.
Dia didapati mengambil dadah itu pada 10 Ogos tahun ini selepas air kencingnya didapati positif dadah di balai polis di sini.
Surfaiza mempunyai lima rekod sabitan kerana mengambil dadah.
Kesalahan mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Surfaiza menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman penjaranya tamat.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus hadir untuk pendakwaan manakala Surfaiza tidak diwakili.
Di mahkamah lain, tiga lelaki dan seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Rahman Nordin, Mamat Rapan, Binasil Isirni dan Mila Ajul, mengaku secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada pertuduhan terhadap mereka.
Empat tertuduh ditahan secara berasingan pada Ogos dan September tahun ini selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis di kawasan Bandaraya.
Mahkamah memerintahkan kesemua pendatang tanpa izin itu untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap.
Selepas menjalani hukuman penjara, mereka diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen untuk direkodkan data biometrik mereka, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.