SANDAKAN: Jabatan Imigresen Sabah pada Rabu melaksanakan iringkawal pemindahan laut seramai 527 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal Filipina melalui Pelabuhan Sandakan pada Rabu.
Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata ia dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin Siri 12 melalui laut bagi tahun 2022.
Jelasnya, itu adalah program pemindahan ketiga yang dijalankan dalam bulan September bagi warganegara Filipina.
Pecahan tahanan program pemindahan pada kali ini melibatkan tahanan lelaki dewasa seramai 383 orang, perempuan dewasa (106), tahanan kanak-kanak lelaki (20) dan tahanan kanak-kanak perempuan seramai 18 orang.
“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963. Semua hukuman telah mengikut proses perundangan negara untuk mereka diusir keluar dari negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Semua warganegara asing juga diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah terlebih dahulu termasuk telah mendapat kebenaran masuk sebelum ke negeri Sabah.
Tambahnya, kesemua tahanan itu juga merangkumi empat buah Depot Imigresen Negeri Sabah iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar, Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau.
Kesemua tahanan ini dipindahkan dengan selamat dan selesai diiringkawal masuk sehingga ke dalam Vessel (Laut) MV-Antonia 1 kira-kira jam 9.15 malam.
Saleha berkata, dari segi pengurusan tahanan di semua DTI di negeri Sabah, semua tahanan ditetapkan akan melalui proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 dan proses pengasingan bagi suatu tempoh yang ditetapkan akan dilakukan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 terhadap PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan.
Katanya, ini seiring dengan Prosedur Operasi Standard ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebahagian besar tahanan sudah mendapat vaksin lengkap dan vaksin penggalak.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.” Tambahnya.
Program pemindahan pada kali ini melibatkan seramai 54 orang pegawai merangkumi lima orang pegawai kanan, tujuh orang penyelia, 43 pegawai Imigresen, seorang pembantu perubatan dan dua PKB.
Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh Sabah.
“Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing,” tambahnya.