KEBAJIKAN rakyat termasuk pemilikan rumah menjadi keutamaan Kerajaan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi inisiatif Rumah Mesra SMJ untuk mengeluarkan penduduk luar bandar daripada kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.
Beliau juga memberi jaminan, kerajaan Sabah akan terus menggandakan usaha untuk melindungi kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.
“Selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi dalam program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan Sabah juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat.
“Ini termasuk memastikan rakyat mempunyai rumah untuk berlindung,” katanya ketika melancarkan Rumah Mesra SMJ, di Kuala Penyu pada 28 Sept.
Pelancaran itu amat bermakna kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) kerana ia juga bertepatan dengan ulang tahun kedua pimpinan pentadbiran negeri sejak 29 Sept 2020, tambahnya.
Ketua Menteri mengulangi bahawa Rumah Mesra SMJ yang mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah bagi membantu golongan yang berada di bawah garis kemiskinan untuk memiliki rumah.
“Saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh dipinggirkan. Rumah itu akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan geran khas Persekutuan RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar Negeri tahun ini,” katanya.
Setiap rumah berharga RM70,000, yang beliau harap dapat disiapkan mengikut jadual, dan pada masa sama, beliau menggesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk memastikan hanya penerima yang layak mendapat rumah tersebut.
“Kita mesti pastikan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak memiliki rumah. Antara kriteria Rumah Mesra SMJ ialah mereka berada dalam senarai e-kasih, rumah rosak akibat bencana alam atau orang kurang upaya. Kerajaan akan sentiasa memantau rumah tersebut bagi memastikan ia tidak disewakan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji percaya rakyat cukup bijak menilai prestasi dan pencapaian Kerajaan Negeri GRS-BN sejak dua tahun lalu yang telah membawa kemajuan dan kemakmuran lebih bermakna kepada negeri dan rakyat
Terdahulu, Hajiji melawat dua rumah model Rumah Mesra SMJ yang telah siap di Kampung Kepayan Skim, Menumbok dan Kampung Bundu, Kuala Penyu di mana beliau menyerahkan kunci rumah kepada pemilik baharu.