Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya parlimen dan akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk memuktamadkan peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponennya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor (gambar) berkata semua parti komponen GRS bersatu padu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 dan telah pun mencapai beberapa persetujuan termasuk menggunakan lambang bersama.
Hajiji berkata jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan parlimen sudah bersedia untuk diaktifkan semula dan semua parti komponen juga telah membuat persiapan masing-masing dalam semangat GRS yang sebenar.
Bagi Dewan Undangan Negeri Sabah, Hajiji yang merupakan pengerusi GRS mengulangi bahawa Kerajaan Negeri GRS-BN sekarang masih mempunyai tempoh tiga tahun untuk berkhidmat, justeru pembubaran tidak diperlukan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau juga berkata semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor dinasihatkan supaya turut membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri mereka dapat diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15.