Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan bagi memastikan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang mendapat mandat sebenar daripada rakyat.
“Keputusan untuk membubarkan Parlimen ke-14 adalah tepat bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang mampu membawa kestabilan politik kepada negara, dan ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.
Bung, yang juga Ketua Umno Sabah, berkata pembubaran itu juga akan menghentikan tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan hari ini adalah “kerajaan pintu belakang” dan “kerajaan pemecah bumbung”.
Beliau berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila dalam penggal sama, kerajaan dan Perdana Menteri bertukar tiga kali, menunjukkan keadaan politik negara tidak stabil sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
“Dalam PRU15 ini, rakyat perlu bijak memilih kerajaan untuk memimpin negara. Konsep berfikir sebelum mengundi penting untuk mewujudkan kestabilan politik, selain tidak mengulangi episod PRU14 dalam memilih parti yang bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto dijanjikan, tetapi juga gagal membawa kestabilan politik dan ekonomi kepada negara,” katanya.
Susulan itu, Bung berkata, pengundi perlu membuat keputusan terbaik untuk memilih pemimpin berkualiti bagi memulihkan kestabilan politik sekali gus memulihkan ekonomi negara.
“Secara asasnya, ekonomi negara masih belum pulih sejak Malaysia berdepan pelbagai cabaran, termasuk pertukaran kerajaan dan Covid-19, menyebabkan keadaan tidak menentu,” katanya.
Bung berkata usaha memulihkan ekonomi negara memerlukan politik stabil untuk menarik pelabur ke Malaysia.
“Jika politik tidak stabil, negara ini tidak akan menjadi keutamaan kepada pelabur. Kalau kita lihat di Indonesia, mereka mempunyai banyak pelabur kerana mereka tidak bercakap mengenai politik selepas pertandingan presiden berakhir,” katanya.
Berhubung persiapan BN Sabah menghadapi PRU15 kali ini, Bung berkata ia sudah bersedia dan ini termasuk pelancaran jentera BN.
Beliau mengulangi bahawa BN Sabah akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15 ini dan rundingan berjalan lancar dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Mengenai calon BN Sabah, Bung berkata pihaknya sudah mengenal pasti calon berpotensi untuk bertanding dan akan memuktamadkan senarai bagi BN pusat selepas rundingan dengan GRS selesai.