Kota Kinabalu: Seorang remaja berusia 18 tahun dipenjara 16 bulan dan didenda RM2,000 atau penjara sebulan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Muhammad Fendi Haslani yang tidak mempunyai sebarang dokumen, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, kepada pertuduhan terhadapnya pada Rabu.
Fendi menyebabkan kecederaan kepada remaja itu dengan menggunakan objek tajam pada jam 10.30 pagi 3 Ogos tahun ini di pasar raya di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Fendi menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh dia ditangkap pada 5 Sept tahun ini, dan selepas selesai hukuman penjara, dia diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen.
Mahkamah mendengar bahawa ketika kejadian, tiga individu menghampiri remaja lelaki itu ketika dia (mangsa) sedang membeli makanan untuk sarapan pagi di tempat tersebut. Salah seorang individu itu yang dikenal pasti sebagai Fendi tiba-tiba menendang perut mangsa serta menumbuk dadanya.
Selepas itu, Fendi turut mengeluarkan senjata tajam itu dan menikam tangan kiri budak itu.
Fendi dan rakan-rakannya kemudian meninggalkan tempat kejadian apabila orang ramai datang dan membantu mangsa, yang kemudiannya dihantar ke klinik swasta sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 51 tahun didenda RM20 atau penjara dua hari kerana berada di bawah pengaruh alkohol dan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai.
Malun Edin mengaku melakukan kesalahan itu pada jam 11.55 malam 7 Okt tahun ini di kawasan Kg Sembulan Baru.
Dia didakwa mengikut Seksyen 510 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 hari, atau denda sehingga RM20, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie Kupit.