Kota Kinabalu: Sabah FC berdepan tugas berat untuk menewaskan juara Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadium Sultan Ibrahim petang ini.
Kemenangan akan melayakkan mereka ke peringkat Piala AFC tetapi ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee pada musim penuh pertamanya bersama skuad itu sedar mengenai laluan sukar yang menanti pasukan pada perlawanan akhir Liga Super musim ini walaupun mereka bangkit dari ketinggalan untuk menang 2-1 menentang Sri Pahang FC pada Selasa lepas.
Mereka hanya satu minit daripada kekalahan sebelum gol penyamaan Dominic Tan dan gol kemenangan pada masa kecederaan daripada Park Tae-su untuk memastikan mereka masih mempunyai peluang untuk merebut slot terakhir layak ke AFC.
“Ia pastinya akan sukar kerana kami perlu berdepan JDT di tempat lawan. Saya melihatnya sebagai satu lagi cabaran dan perlawanan yang cukup sengit, dan keputusan itu penting kerana ia akan menentukan sama ada kami layak ke Piala AFC,” katanya.
Sabah kini di tangga kedua dengan 42 mata, hanya dipisahkan satu mata dengan Terengganu FC di tempat ketiga dan keempat Negeri Sembilan FC dan kedua-duanya berpeluang mara ke peringkat AFC musim depan.
Terengganu akan menentang Kedah FC di tempat ketujuh manakala Negeri Sembilan akan menentang Sri Pahang FC kini di tempat kelapan juga di tempat lawan dalam perlawanan terakhir mereka malam ini.
Walaupun pesaing terdekat mereka mempunyai tugas yang lebih mudah menentang pasukan yang berada di kedudukan pertengahan, Ong percaya persaingan masih terbuka dan berharap pemain akan memberikan yang terbaik.
“Sasaran saya adalah untuk kami memperoleh sebarang mata daripada perlawanan itu kerana ia mungkin amat berharga untuk Sabah FC dalam kedudukan akhir,” katanya.
Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah FC memberikan perlawanan yang baik sebelum tewas kepada gol masa kecederaan dalam kekalahan 1-2 mereka kepada JDT pada Julai lepas.