Kota Kinabalu: Seorang bekas anggota polis, yang kini menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, pada Jumaat dipenjara 36 bulan lagi dan dikenakan satu sebatan kerana memeras ugut, dua tahun lalu.
Nizam Jaluddin mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun pada Jumaat, yang dijadualkan untuk sambungan perbicaraannya.
Nizam mengaku sengaja melakukan peras ugut dengan menimbulkan ketakutan kepada Rudy Ramlee bahawa dia akan mengambil tindakan ke atasnya (Rudy) jika tidak memberikan wang tunai RM500 kepadanya pada pukul 7 malam Sept 2020 di tepi Jalan Keramat, Lorong Bunga Bawang di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Nizam menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Okt tahun lepas.
Nizam kini menjalani hukuman atas kesalahan melupuskan barang curi, menyimpan barang curi, mencuri dan mengambil syabu.
Dalam kes lain, seorang penjawat kerajaan dilepaskan dan dibebaskan daripada 10 pertuduhan menipu berjumlah RM55,000. Jessica membuat keputusan itu berhubung kes Noredayati Amat Sah semasa sebutan kesnya pada Jumaat.
Terdahulu, pengadu kes itu yang hadir ke mahkamah memberitahu mahkamah bahawa dia ingin menarik balik kes tersebut dan telah membuat laporan polis untuk menarik balik laporan terdahulu berhubung kes itu.
Ketika ditanya oleh pihak pendakwaan mengenai sebabnya menarik balik kes itu, pengadu berkata Noredayati sudah membayar balik semua wang terbabit dalam pertuduhan itu.
Pihak pendakwaan kemudian memohon supaya pertuduhan ditarik balik dan dibenarkan mahkamah.
Noredayati pada 28 Okt 2021 meminta dibicarakan atas pertuduhan menipu Hasmadi Jamawi dengan memperdayanya bahawa dia boleh melakukan urusan bekalan perkhidmatan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang tidak wujud.
Pertuduhan menyatakan bahawa helahnya itu mendorong Hasmadi menyerahkan RM9,000, RM1,000, RM9,000, RM5,500, RM3,000, RM4,500, RM9,000, RM3,000, RM10,000 dan RM1, 000 antara 25 Nov, 27 Nov, 30 Nov, 5 Dis, 8 Dis dan 21 Dis 2020 dengan memasukkannya ke dalam akaun banknya. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sini antara 25 Nov 2020 dan 21 Dis, tahun yang sama.
Setiap pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara satu tahun dan 10 tahun dan dengan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Noredayati diwakili peguam Rayhan Adliza Batuah dan Nurshalilah Fauzan Mailin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah dan DK Afiqah Alya.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 19 tahun mengaku bersalah mengalihkan harta curi. Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan ke 4 Nov untuk penjatuhan hukuman sementara menunggu laporan sosial tertuduh disediakan.
Mohd Redzwan Syahfiqqi Abdullah didakwa mengalihkan sepasang kasut curi dan selipar milik Suhairol Suging pada 11.05 pagi 12 Okt lepas di Tanjung Aru.
Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara menunggu tarikh itu, Redzwan ditawarkan diikat jamin RM1,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Albert Basiri.