KUNAK: Seorang pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terbalik di tepi Jalan Kunak - Lahad Datu, awal pagi Ahad.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.03 pagi menerusi talian MERS999.
Sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Kenny Fred Sikun bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer dari Balai Bomba di sini.
“Seorang lelaki berjaya keluar dari kenderaan itu tanpa sebarang kecederaan,” katanya sebelum menambah, insiden itu berlaku semasa hujan.
Operasi ditamatkan pada jam 7.16 pagi, menurut Mohammad.
Jalan persekutuan Kunak - Lahad Datu khususnya di kawasan antara KM22 hingga KM30 mendapat jolokan kawasan ‘bukit ular’ oleh penduduk setempat berikutan keadaan jalan raya tersebut yang berliku-liku sepanjang laluan bercerun.