SABAH tidak akan berputus asa dalam usaha mendapatkan 40 peratus hasil negeri daripada Kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Secara peribadi, saya juga ingin (untuk Sabah) mendapat lebih (daripada Kerajaan Persekutuan) tetapi dari segi mengurus negara, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Namun ini tidak bermakna Sabah tidak mahu bantuan atau peruntukan yang lebih besar.
“Kita sememangnya lebih memerlukannya dan dalam konteks tuntutan 40 peratus untuk Sabah, kami akan terus menuntut dan berunding dengan Kerajaan Persekutuan mengenainya,” kata beliau ketika ditanya mengenai aduan netizen bahawa jumlah baharu geran khas itu tidak mencukupi untuk Sabah.
Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan geran khas untuk Sabah kepada RM126 juta tahun ini berbanding hanya RM26 juta sejak beberapa dekad lalu.
Mengenai Bajet 2023, Hajiji mengulangi bahawa ia direka untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dalam era pasca-pandemik.
“Pertama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kerajaan Persekutuan kerana membentangkan Bajet inklusif yang memberi manfaat kepada semua segmen Keluarga Malaysia,” katanya.