Kota Kinabalu: Kes seorang lelaki berusia 54 tahun yang didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada abangnya, dirujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) untuk perintah lanjut kerana individu itu disahkan tidak siuman.
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abdul Samad membuat keputusan itu terhadap lelaki itu susulan permintaan pihak pendakwaan berhubung perkara ini selepas laporan perubatan pakar psikiatri dari Hospital Mesra Bukit Padang mengesahkan keadaannya.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan perubatan itu menyatakan lelaki itu disahkan menghidap skizofrenia.
Mahkamah seterusnya berkata berdasarkan surat terbaharu pada 17 Okt tahun ini daripada pakar psikiatri, laporan perubatan itu menunjukkan lelaki itu tidak layak untuk membuat pengakuan dan dibicarakan kerana dia didiagnosis tidak mempunyai keupayaan mental dalam kapasiti yang disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Mesra Bukit Padang.
Mahkamah dengan itu bertindak mengikut Seksyen 344(2) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) mengambil tindakan supaya perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk perintah selanjutnya.
Sementara menunggu perintah tersebut, lelaki itu ditahan di Hospital Mesra Bukit Padang untuk jagaan selamat, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 344 (3) CPC.
Lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada abangnya yang berusia 58 tahun itu dengan menggunakan parang pada jam 4 pagi 17 Jun tahun ini di sebuah rumah di Ranau.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauzi Acho manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.