Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata jawatankuasa khas akan ditubuhkan di setiap daerah untuk meneliti daftar pemilih kawasan masing-masing, susulan peningkatan mendadak jumlah pengundi baharu di Sabah.
Beliau berkata jawatankuasa khas yang terdiri daripada jentera parti itu, akan bertindak mengenal pasti pengundi yang didaftarkan di kawasan masing-masing (jentera parti) adalah benar dan sah.
Menurut beliau, jentera parti di setiap daerah lebih tahu siapa pengundi di kawasan masing-masing, seperti mereka yang tinggal di kawasan mengundi dan kampung-kampung.
“Ia ditubuhkan di setiap daerah kerana mereka lebih tahu siapa pengundi di kawasan masing-masing. Mereka telah menetap dan tinggal di kawasan itu selama puluhan tahun, jadi mereka tahu siapa pengundi itu sama ada orang di situ atau sebaliknya.
“Jadi, kita akan tunggu laporan daripada mereka,” katanya selepas melancarkan minyak masak jenama ‘Sayang’ dikeluarkan Sawit Kinabalu Sdn Bhd di Anjung Senja, Likas, di sini, pada Rabu.
Hajiji sebelum ini berkata bahawa lonjakan besar 574,120 pengundi baharu dalam tempoh empat tahun sahaja tidak boleh dipandang ringan. Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mengambil maklum bahawa pengundi baharu ini kebanyakannya didaftarkan sebagai “Melayu” namun tidak mungkin berasa dari negeri ini atau semenanjung.