GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) adalah platform yang menyatukan parti-parti yang mewakili rakyat berbilang kaum di Sabah agar Persekutuan mendengar Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.
“Saya berharap rakyat akan memahami dasar asas GRS.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lalu. Kita mudah berpecah dan tidak dapat menuntut hak kita kerana kita tidak bersatu. Cukuplah sudah. Kita tidak perlu bergaduh lagi,” katanya pada Jelajah GRS Kota Marudu di Kota Marudu pada 16 Okt.
Hajiji juga berkata Bersatu Kota Marudu masih kukuh biarpun dengan pemergian ketuanya Datuk Wetrom Bahanda.
“Sebagai pemimpin Bersatu Sabah saya ingin menjelaskan bahawa walaupun ketua Bersatu Kota Marudu telah meninggalkan parti, Bersatu tetap utuh di Kota Marudu.
“Kami akan terus menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebagai MP Kota Marudu,” katanya.
“Kita tidak harus membuat perhitungan salah dalam politik. Saya difahamkan Parti Warisan memancing terutamanya semasa pilihan raya. Kita tahu niat mereka…mereka cakap tak serupa bikin.
“Apa yang mereka lakukan dalam dua tahun setengah sebagai kerajaan Sabah? Mereka tiada hala tuju selain berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan rakyat berbilang kaum di Negeri ini,” katanya.
Menurutnya, kepimpinan Dr Maximus yang merupakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) masih amat diperlukan oleh penduduk di sini.
“Beliau telah melakukan begitu banyak untuk Kota Marudu. Jika ada pihak tertentu atau pembangkang mendakwa tiada pembangunan di Kota Marudu, kita tidak boleh terima. Ia adalah satu pembohongan terang-terangan.
“Kita boleh lihat sendiri Kota Marudu telah mengalami perubahan besar sejak beliau (Dr Maximus) menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Persekutuan,” katanya.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata Dr Maximus sangat dihormati oleh pemimpin Persekutuan kerana beliau seorang pemimpin yang telah memperjuangkan hak Sabah sejak awal lagi dan kini sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak, beliau meneruskan perjuangan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).
Hadir sama, Dr Maximus, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Edward Linggu, Adun Tandek Hendrus Anding selaku pengerusi penganjur serta ketua bahagian Bersatu Kota Marudu.