Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri akan melihat cadangan beberapa pihak bagi mendapatkan bantuan khususnya kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung dengan memberi subsidi tambang tiket penerbangan mereka untuk pulang ke negeri ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita tengok dulu. Memang ada cadangan beberapa pihak terutama pelajar atau rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung yang mungkin mahu pulang mengundi (pada PRU15).
“Jadi kita mungkin akan lihat perkara ini nanti. Setakat ini tiada apa lagi yang boleh kita umumkan.
“Tetapi kita juga mahu mereka menggunakan hak mereka untuk mengundi sebagai rakyat dan juga sebagai pengundi dalam PRU akan datang ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan selepas beliau melancarkan Sekretariat Pelajar Malaysia Sabah (Semesta) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) ) di sini Isnin.
Beliau ditanya mengenai cadangan agar Kerajaan membantu dengan memberi subsidi tambang penerbangan kepada pelajar Sabah di IPT di Semenanjung supaya mereka boleh pulang ke negeri untuk mengundi pada PRU15.