Kota Kinabalu: Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjadi punca Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sepatutnya siap pada tahun ini, gagal disiapkan mengikut jadual.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ketika PH memerintah sebelum ini, peruntukan untuk projek itu 'dirampas' tetapi diumumkan di Parlimen kononnya ia berjaya menjimatkan duit kerajaan.
Katanya, satu lagi projek jalan raya menghubungkan sempadan Indonesia, iaitu Jalan Serudong - Kalabakan turut dihentikan menyebabkan projek infrastruktur yang sangat penting kepada rakyat Sabah itu tergendala.
"Saya tidak tahu apa dia (PH) jaga di Sabah (sebelum ini). Apa yang saya tahu dia (PH) rampas peruntukan Pan Borneo dan Jalan Serudong dan mengumumkan di Parlimen kononnya dia berjaya menjimatkan duit," kata Bung dalam kenyataan media.
"Kalau saya sebetulnya, tiada satu apapun yang baik PH buat untuk Sabah, bahkan ia biarkan rakyat Sabah menderita. Kalau bukan pentadbiran PH, Lebuhraya Pan Borneo Sabah sudah siap tahun ini."