SABAH akan terus mengekalkan momentumnya dalam meletakkan dirinya sebagai destinasi menarik bagi pelabur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Kerajaan telah memanfaatkan banyak peluang dalam pelbagai sektor di seluruh Sabah untuk memastikan negeri ini kekal konsisten dalam menarik pelaburan.
Beliau berkata hanya dalam tempoh dua tahun di bawah tampuk pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN) dari Sept 2020 hingga Sept 2022, sebanyak 46 syarikat telah melabur dalam sektor pembuatan Sabah, sekali gus mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan.
“Dalam tempoh ini, jumlah pelaburan asing berjumlah RM11.9 bilion, manakala pelaburan tempatan berjumlah RM942 juta.
“Sabah akan meneruskan momentum ini dan kami yakin Sabah sedang dan akan terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya pada Malam Pelantikan Ke-10 dan Ulang Tahun Ke-25 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di Shangri-La Tanjung Aru. di Kota Kinabalu pada 22 Okt. Ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.
Ketua Menteri juga menggesa KCCI dan dewan perniagaan lain untuk memanfaatkan peluang berkenaan untuk berkembang, selain membantu kerajaan membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah. Hajiji berkata kerajaan menawarkan peluang bermakna kepada golongan Bumiputera untuk menyahut seruan kerajaan dari segi penyertaan dalam proses transformasi ekonomi, terutamanya daripada pertanian ke arah perindustrian.
“Terpulang kepada kebijaksanaan dan kapasiti ahli-ahli KCCI untuk menyesuaikan proses anjakan kepada satu bentuk ekonomi baharu yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Ambillah kesempatan bergabung dengan syarikat luar yang mempunyai kemahiran dan kepakaran terkini,” tambahnya.
Hajiji berkata dalam usaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, Kerajaan telah banyak memberi peruntukan untuk melatih dan menggilap tenaga kerja supaya dapat memiliki kelayakan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan negara.
Beliau juga menyeru ahli-ahli KCCI agar meningkatkan semangat juang, semangat usahawan dan semangat kerjasama terutama dalam menempuh cabaran untuk menubuhkan komuniti komersial dan perindustrian Bumiputera di Sabah.
Beliau mengulangi bahawa Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah usaha murni kerajaan untuk membawa pembangunan yang menyeluruh dan pesat bagi negeri Sabah.
“Misi dan aspirasi saya adalah melihat Sabah yang progresif. Kerajaan tidak akan pernah berhenti membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.