SEKRETARIAT Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta) dilancarkan di Kota Kinabalu pada 31 Okt lepas untuk memberi sokongan kepada persatuan mahasiswa Sabah di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang merasmikan pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), berkata Semesta juga boleh dijadikan platform untuk mahasiswa menyuarakan pandangan, idea dan cadangan demi pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Saya yakin dan percaya Semesta mampu berkembang ke luar negara untuk pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran di luar Malaysia. Penubuhan Semesta juga akan memberi manfaat kepada semua pelajar Sabah melalui penyebaran maklumat mengenai dasar Kerajaan Negeri.
“Penyebaran maklumat yang tepat adalah penting untuk memberi kefahaman kepada pelajar tentang usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan modal insan di Sabah. Saya mengumumkan hasrat untuk menubuhkan Semesta semasa majlis bersama mahasiswa Sabah di semenanjung pada April lalu. Alhamdulillah, perancangan untuk menubuhkan Semesta telah direalisasikan dan kita melancarkannya hari ini,” katanya.
Ketua Menteri mengumumkan hasrat penubuhan Semesta pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi IPT Bersama Ketua Menteri Sabah, yang dihadiri lebih 1,000 mahasiswa Sabah di Pusat Konvensyen Setia City di Kuala Lumpur pada 18 April lalu.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang kebajikan dan keperluan semua pelajar di Sabah sama ada di dalam atau luar negara kerana merekalah yang akan meneruskan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
Justeru itu, katanya, dalam usaha memperkasakan modal insan di negeri ini, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa program bantuan pendidikan di bawah Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta disediakan untuk tahun ini.
“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan kewangan pelajar B40 terutama dalam pembayaran pendaftaran ke IPT.
Oleh itu, pelbagai bantuan kerajaan telah dilaksanakan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) one-off (sekali bayar) yang diperkenalkan tahun lalu.
“Semua bantuan pendidikan ini akan diteruskan pada masa hadapan. Pelbagai bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk membiayai pendaftaran anak ke IPT,” katanya. Sementara itu, Hajiji berkata bantuan Budi membabitkan RM1,500 bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan matrikulasi dan RM2,000 bagi pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat ijazah.
“Setakat ini, sebanyak 2,669 permohonan telah diluluskan daripada kira-kira 5,000 pemohon yang dijangka menerima manfaat daripada bantuan ini yang diperuntukkan sejumlah RM10 juta,” katanya.
Selain Budi, satu lagi bantuan pendidikan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ialah Bantuan Ihsan Komputer (Baik) yang menyasarkan pelajar Sabah daripada kumpulan eKasih yang menuntut di IPT dan tidak mampu membeli komputer.
Setakat ini, seramai 325 pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan ini yang disasarkan akan disediakan untuk seramai 560 pelajar.
Bantuan lain ialah Bantuan Tunai Peperiksaan (Bakti), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (Bagus) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (Bistari) untuk kanak-kanak yang dilahirkan pada 2022. Semua inisiatif ini pastinya akan memberi manfaat kepada anak muda Sabah secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Hajiji mahu semua inisiatif pendidikan ini digunakan dengan sebaik mungkin dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri menyediakan bantuan pendidikan seawal untuk bayi baru lahir sehingga melanjutkan pelajaran ke IPT dalam atau luar negara,” katanya.
Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan Baik kepada pelajar IPT dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) kepada empat penerima.
Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.