SEMUA anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya bersatu padu dan menjunjung kata sepakat antara kedua-dua gabungan itu bagi mencapai keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerjasama baik antara GRS dan BN adalah penting untuk bukan sahaja menang dalam PRU15 tetapi juga untuk memastikan kestabilan politik, sekali gus membentuk kerajaan persekutuan yang stabil.
Ketua Menteri Sabah juga berkata kerjasama GRS-BN amat berharga dalam memastikan suara Sabah kekal kuat, didengar dan dirasai di peringkat kebangsaan, selain memperjuangkan dan melindungi hak dan kepentingannya.
“Kerjasama ini mesti dipelihara. Kita mesti mengutamakan Kerajaan Negeri GRS-BN.
Bukan sahaja untuk menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat tetapi untuk membawa Sabah selangkah ke hadapan untuk sebuah negeri yang lebih maju dan makmur,” katanya.
Katanya, beliau mahu semua penyokong dua rakan gabungan itu sejiwa dan bergerak sebagai satu jentera di setiap kawasan parlimen.
“Kita juga harus menerima keputusan pilihan raya calon dan kawasan pilihan raya.
“Mereka yang tidak dipilih sebagai calon tidak seharusnya mensabotaj atau berfikiran negatif sebaliknya memberi keutamaan kepada pakatan GRS-BN untuk kemenangan. Jika kita berlawan sesama sendiri, kita tidak akan menang apa-apa,” katanya pada majlis pengumuman calon GRS dan BN PRU15 di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, pada 2 November.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar dalam ucapannya menasihatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon pada PRU15 agar tidak merajuk atau bersedih lama-lama sebaliknya menyokong calon GRS-BN untuk mencapai kemenangan.
Bung, yang akan mempertahankan kerusi parlimen Kinabatangan, juga bersetuju dengan Hajiji bahawa GRS dan BN harus mengukuhkan kerjasama mereka demi kestabilan politik Sabah ke arah mewujudkan kerajaan persekutuan yang stabil.
“Tolong bantu calon kami (untuk menang dalam PRU15). Jika BN sahaja yang menang tetapi GRS tidak, ia tidak ada makna dan begitu juga sebaliknya.
“Impian kami (GRS-BN) adalah untuk memajukan lagi Sabah (jika menang dalam PRU15) dan menjadi kerajaan yang stabil dan memahami aspirasi rakyat.
“Kami sudah mempunyai pengalaman mempunyai kerajaan yang tidak stabil,” katanya.
Pada majlis itu, GRS (diwakili Hajiji) mengumumkan calonnya untuk 13 kerusi parlimen di Sabah pada PRU15, manakala BN (oleh Bung) calon untuk 11 kerusi, yang tidak akan menyaksikan pertembungan bagi kerusi antara kedua-dua rakan kongsi gabungan itu.
GRS dan BN membentuk Kerajaan Sabah selepas mereka menang pada Pilihan Raya Negeri ke-16 pada September 2020.