Tuaran: Tiga calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerusi Parlimen Tuaran yang terdiri daripada bekas penyelidik, wartawan dan Unduk Ngadau mempunyai aspirasi sama iaitu meningkatkan tahap kehidupan penduduk di kawasan itu.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga penyandang kerusi Parlimen Tuaran selama empat penggal berkata isu kemudahan asas masih menjadi masalah penduduk di kawasan itu walaupun pelbagai cara dilakukannya sebelum ini.
Bekas penyelidik di Institut Kajian Pembangunan Sabah dan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah itu berkata bekalan air dan jalan raya merupakan antara komponen utama kemudahan asas yang perlu dinaik taraf bagi memberikan kehidupan lebih baik kepada penduduk.
“Saya menjadi wakil rakyat di sini dan banyak usaha telah dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah berkenaan, namun masalah itu tidak pernah selesai,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pekan Tamparuli di sini Rabu lepas.
Madius yang mempertahankan kerusi Parlimen itu atas tiket Pakatan Harapan, berkata setakat kempen kali ini penerimaan rakyat terhadap parti itu amat menggalakkan, malah partinya kini menerima keahlian baharu setiap hari.
Ketika di pekan itu, Madius bertembung dengan seorang lagi calon iaitu Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai yang turut melakukan tinjauan ke kawasan tersebut dan kedua-dua pemimpin serta penyokong mereka bertukar salam serta bertanya khabar dalam suasana mesra.
Joniston ketika ditemui pemberita berkata peluang bersemuka dengan masyarakat secara kerap memberi peluang kepadanya memahami aspirasi rakyat dan melaksanakannya dengan berkesan.
Bekas wartawan New Straits Times dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu berkata apa yang menarik perhatian, pengundi muda khususnya di Tuaran mahukan parti politik tempatan yang boleh membawa perubahan di kawasan berkenaan dan beliau percaya GRS mampu memenuhi aspirasi tersebut.
“Bercakap mengenai pengundi muda, saya faham pendirian mereka dan seperti kebanyakan pengundi lama, mereka juga mahukan kemajuan. Kedua-dua golongan muda dan lama berkongsi aspirasi yang sama. Rakyat mahukan pemimpin yang mempunyai hala tuju yang jelas.
“Kami mahu melihat anak muda kita berjaya dan saya sentiasa menggalakkan penglibatan belia untuk mengambil peranan kepimpinan di peringkat komuniti,” tambah Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Kiulu dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah.
Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan) Jo-Anna Sue Henly Rampas pula berkata beliau akan berusaha meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk di kawasan Tuaran yang antara lain mempunyai potensi besar dalam sektor ekopelancongan.
Pemenang anugerah Unduk Ngadau 2007 atau ratu cantik tradisi Pesta Kaamatan, yang mempunyai latar belakang peguam itu berkata Tuaran amat bertuah dianugerah kawasan Kiulu serta Tamparuli yang berbukit dan Pantai Dalit yang berpantai untuk diteroka sebagai produk ekopelancongan.
“Sekarang ekopelancongan ini berselerak, jadi kita boleh wujudkan hab pelancongan hubungkan tempat ini seterusnya memudahkan pelancong melawat pelbagai kawasan di Tuaran. Bila ini berlaku secara langsung peniagaan kecil akan bertambah maju dan sosioekonomi rakyat bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata dengan kemajuan itu juga, lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan akan dapat diwujudkan khususnya untuk generasi muda yang pada masa ini terpaksa berhijrah ke bandar malah ke Semenanjung untuk mencari rezeki.
Pada PRU15, Madius, Joniston dan Jo-Anna akan berdepan saingan enam penjuru dengan Muminin Kalingkong mewakili Parti Pejuang Tanah Air serta dua calon Bebas iaitu Nortaip Suhaili dan Boby Lewat.