Tuaran: Usahawan wanita di Sabah digesa memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dunia perniagaan.
Membuat gesaan tersebut, isteri Ketua Menteri Datuk Juliah Salag berkata bidang keusahawanan memerlukan tahap komitmen yang tinggi.
“Justeru, pengetahuan tentang pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran amat penting dalam membantu usahawan menentukan hala tuju perniagaan mereka,” kata Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS).
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan yang besar untuk pembangunan wanita di negeri ini termasuk dalam bidang keusahawanan, pada tahun ini.
“Dalam Bajet Negeri 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita yang mana Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) telah diperuntukkan sebanyak RM5.8 juta manakala RM11.8 juta daripada peruntukan itu disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).
Kerajaan Persekutuan, katanya, turut memperuntukkan RM230 juta untuk meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan wanita tahun ini.
Antara program yang dibiayai ialah Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNita) di bawah Mara dan Tekunita di bawah Tekun Nasional (Tekun), kata Juliah ketika menyempurnakan penutupan Program Keusahawanan Jhewanita 2022 di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, di sini, Khamis.
Sementara itu, beliau berkata wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam membentuk generasi akan datang tetapi juga menyumbang kepada ekonomi keluarga.
“Saya sentiasa menyokong dan menyeru semua wanita agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan meneruskan usaha membantu meningkatkan ekonomi keluarga seterusnya menjadi usahawan yang berjaya.
“Keusahawanan dilihat sebagai satu bidang yang boleh meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan kualiti hidup.
“Saya dapati penglibatan wanita semakin aktif dengan pelbagai aktiviti keusahawanan. Ada antara mereka yang mula berniaga atas inisiatif sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak,” katanya.