Kota Kinabalu: Calon Parti Warisan (Warisan), Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mempersoalkan isu yang tular di media sosial berkaitan poster besar Pakatan Harapan (PH) mengenai ‘Sepanggar Tiada Air’. Mohd Azis berkata, sepatutnya calon Pakatan Harapan (PH), Mustapha Sakmud, bertanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Peto Galim, apa yang telah dilakukannya selama ini.
“Agak lucu apabila poster ini dikeluarkan oleh calon PH semata-mata untuk meraih undi dalam kalangan rakyat di Sepanggar. Kita ingin bertanya di mana calon PH selama ini ketika rakyat Sepanggar memerlukan perkhidmatan mereka? Tiba-tiba muncul dengan membawa isu begini,” katanya di sini Isnin lepas.
Mohd Azis berkata, masalah air adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri manakala semua urusan bekalan air serta infrastruktur menjadi tanggungjawab serta bidang kuasa kerajaan memerintah.
“Saya ambil maklum akan masalah air di Parlimen Sepanggar yang semakin kritikal sejak beberapa hari ini.
“Suka saya mengulangi jawapan menteri semasa membawa isu ini berkali-kali di Dewan Rakyat bahawa kuasa mengurus air adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri,” katanya.
Mohd Azis berkata, beliau sudah bertahun-tahun mengambil inisiatif menghantar serta membeli sendiri bekalan air yang dihantar melalui lori tangki air ke kawasan terjejas.
“Saya cuma mampu bantu mana yang saya mampu sebagai wakil rakyat bukan kerajaan,” katanya.
Mohd Azis berkata, sewajarnya calon PH itu sepatutnya bertanya apa sumbangannya kepada rakyat Inanam bukan sahaja mengenai masalah air, tetapi juga masalah lain.
“Kita juga jarang melihat kelibat Adun Inanam untuk menyelesaikan masalah bekalan infrastruktur asas penduduk kampung terutama di DUN Inanam,” katanya.