Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata Kota Kinabalu boleh dibangunkan menjadi metropolis jika diwakili Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, pengundi Kota Kinabalu perlu memberi sokongan padu kepada calon GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan keluar daripada belenggu pembangkang yang hanya banyak cakap tetapi tiada tindakan.
“Pada PRU15 ini, GRS telah mengemukakan calon muda iaitu Yee Tsai Yiew yang merupakan seorang peguam dan berkelayakan. Selain seorang yang rajin bekerja, Yee juga mudah didekati dan mesra rakyat.
“Walaupun masih muda, Yee mempunyai wawasan dan saya pasti selepas ini dia akan bertemu dengan profesional lain dan golongan muda berkelayakan untuk berbincang untuk membangunkan Bandaraya Kota Kinabalu menjadi metropolis yang kita semua boleh banggakan,” katanya.
Dr Joachim berkata demikian ketika merasmikan sesi “Temui Calon GRS Yee Tsai Yiew”, anjuran Persatuan Bola Keranjang Kota Kinabalu, di Dewan Hakka di Tanjung Lipat.
Dr Joachim yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin Yee mampu membawa banyak perubahan positif di kawasan itu.
Beliau berkata Kerajaan Negeri GRS-BN pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sedang giat membangunkan Sabah melalui rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kami mahu GRS-BN menjadi suara yang lebih kuat supaya tuntutan hak kami seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan,” kata Dr Joachim.