Kota Kinabalu: Jerayawara Pelancongan Berasaskan Komuniti 2022 menyediakan pelbagai aktiviti menarik dengan 19 daerah mengambil bahagian dalam program berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, bermula 27 hingga 29 Nov ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata jerayawara itu bertujuan mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan luar bandar termasuk ekopelancongan serta agropelancongan, selain keunikaan kebudayaan dan makanan tradisi Sabah.
Beliau berkata jerayawara pada tahun ini diadakan secara berskala besar melibatkan negeri lain seperti Sarawak dan Johor, selain penglibatan Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Perindustrian serta Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri.
“Ini adalah kali pertama kementerian turut terlibat dan lebih menarik lagi ada penyertaan dari Designated Areas for Sustainable Tourism (DASTA) Thailand. Kita juga membuat pembaharuan dengan mengadakan forum bertajuk ‘Memajukan Pelancongan Luar Bandar untuk Masyarakat Luar Bandar.
“Kami mengambil peluang menganjurkan jerayawara ini sempena Persidangan Pelancongan Dunia yang dijangka menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dari 60 negara,” katanya dalam sidang media di sini, Rabu.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata sebanyak 56 reruai disediakan, dengan 50 daripadanya menjual kraftangan dan masakan tempatan, selain aktiviti seperti cabutan bertuah dan pertandingan melukis untuk kanak-kanak.
“Masuk adalah percuma dan kita harap masyarakat akan mengambil peluang berkunjung ke jerayawara ini bagi melibat pelbagai tarikan pelancongan luar bandar,” katanya menambah program itu dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Joniston berkata pihaknya berharap dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 1.2 juta pelancong ke Sabah menjelang akhir tahun ini.
“Ini adalah sasaran memandangkan kita masih berada pada fasa pemulihan. Bagaimanapun, dengan kerja keras dan usaha STB dan rakan-rakan industri pelancongan, kita sudah merekodkan kehadiran seramai 1.9 juta pelancong setakat September lepas,” katanya.