KERAJAAN Negeri menghargai sumbangan masyarakat Cina melalui Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kota Kinabalu (KKCCCI) dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sebagai Ketua Menteri, beliau berkata impiannya adalah untuk terus membawa Sabah ke hadapan, membawa lebih banyak pembangunan kepada Negeri dan rakyat secara keseluruhan dan menjayakan sepenuhnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“KKCCCI sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor perniagaan di negeri ini. Bukan sahaja dalam perniagaan, malah KKCCCI juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendidikan dan budaya Cina.
“Saya berharap dewan ini akan terus menggunakan segala peluang yang ada untuk bersama-sama dalam arus perdana pembangunan agar Sabah turut mendapat manfaat.
“Ini selain membantu Kerajaan membawa lebih banyak pembangunan kepada Negeri, serta menggalakkan perpaduan, muhibah dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sabah,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-111 KKCCCI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) di Kota Kinabalu pada 11 Nov. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji juga menggesa KKCCCI dan dewan perniagaan lain di negeri ini untuk memanfaatkan semua peluang yang disediakan oleh Kerajaan.
“Hala Tuju SMJ adalah usaha Kerajaan untuk membawa pembangunan menyeluruh dan pesat ke Sabah. Saya mahu KKCCCI dan dewan perniagaan lain mengambil peluang dalam Hala Tuju ini untuk memajukan ekonomi Negeri.
“Melalui Hala Tuju SMJ, Kerajaan Negeri bersedia bertindak sebagai pemangkin untuk mewujudkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan penting yang akan membantu mewujudkan hubungan ekonomi antara Sabah dan negara luar.
“Sabah mempunyai banyak sumber, justeru kami akan terus membuka lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam bidang minyak dan gas, pertanian dan penternakan, infrastruktur dan perdagangan,” katanya.
Beliau berkata KKCCCI yang ditubuhkan 111 tahun lalu turut memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara Kerajaan dan sektor perniagaan, menyebarkan dasar dan maklumat berkaitan perdagangan dan industri serta menyampaikan suara rakyat kepada Kerajaan.
Sementara itu, KKCCCI menggesa rakyat bekerjasama dengan Kerajaan pimpinan Hajiji demi kebaikan Sabah, pembangunan dan kestabilan perniagaan.
Presiden KKCCCI Datuk Michael Lui berkata ia menyokong penuh jaminan Hajiji dalam ikrarnya untuk terus menjadi Ketua Menteri berjiwa rakyat untuk berkhidmat kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik. Beliau berkata Ketua Menteri juga memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat.
“Kami menaruh kepercayaan penuh kepada Ketua Menteri yang sentiasa berusaha memu-lihkan ekonomi negeri daripada pandemik Covid-19 demi mencapai matlamat Sabah Maju Jaya.
“KKCCCI mengalu-alukan dan menyokong visi beliau berhubung pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dari 2021 hingga 2025, yang merupakan kerangka hala tuju dan strategi negeri untuk memacu ekonomi Sabah.
“Kami percaya rancangan ini akan membantu meningkatkan pembangunan Sabah.
Ini sememangnya merupakan usaha positif Kerajaan Sabah untuk merangka pelbagai strategi dan pendekatan dalam memacu pemulihan ekonomi negeri daripada kesan pandemik Covid-19, di samping menumpukan usaha menangani isu kesihatan awam.
“KKCCCI yakin rancangan pembangunan SMJ akan membina masyarakat yang lebih bersatu padu, aman dan sejahtera.
“Sememangnya rancangan jangka panjang ini akan meningkatkan keperluan ekonomi Negeri kita dengan memanfaatkan sumber asli di Sabah, membangunkan sumber manusia dan mening-katkan taraf sosio-ekonomi rakyat,” katanya.
Lui turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hajiji atas peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah Cina, dengan berkata ia amat membantu meringankan tekanan kewangan sekolah-sekolah terbabit dalam masa-masa sukar ini agar mereka dapat meneruskan operasi sekolah-sekolah di bawah jagaan KKCCCI.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan Kerajaan Negeri baru-baru ini sebanyak RM300,000 untuk mengubah suai dan membaiki Wisma KKCCCI, yang menelan belanja RM600,000,” katanya.
Lui berkata beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan cabaran besar dibawa oleh pandemik Covid-19 yang memberi kesan ekonomi bukan sahaja kepada perniagaan tetapi seluruh masyarakat di Sabah.
Beliau berkata KKCCCI telah berfungsi sebagai jambatan komunikasi untuk menyampaikan pandangan ahlinya dan sektor perniagaan, bersama-sama dengan permintaan untuk sokongan sewajarnya, kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
“Pada masa sama, KKCCCI kekal komited untuk meneroka peluang baharu dalam sektor perniagaan,” tambahnya.
Menurut Lui, walaupun KKCCCI sendiri, seperti namanya, merupakan sebuah organisasi yang tergolong dalam sektor perniagaan tempatan, ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendidikan dan budaya Cina.
“Buat masa ini, terdapat tujuh sekolah di bawah pengurusan KKCCCI iaitu SRJK Chung Hwa Kota Kinabalu, SJK (C) Chung Hwa Likas, SJK (C) Hwa Shiong Putatan, SJK (C) Che Hwa Kolombong, Taska Tadika Chung Hwa Likas, Tadika Hwa Siong Putatan dan Tadika Chung Hwa Penampang.
“Selain itu, KKCCCI juga bersama-sama menguruskan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu. Kami juga menguruskan tiga tanah perkuburan Cina yang terletak di Batu 2.5 Jalan Tuaran, Batu 5.5 Jalan Tuaran dan Manggatal, demi menjaga kebajikan masyarakat Cina di Kota Kinabalu,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-111 KKCCCI, Lui berkata dewan itu berhasrat sepenuhnya untuk membuat perancangan strategik bagi memudahkan kepelbagaian ekonomi dan industri Sabah serta integrasi Bandaraya Kota Kinabalu ke dalam pembangunan negara.