Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen pada 9 Januari tahun depan akan menyampaikan keputusannya terhadap seorang lelaki, yang didakwa atas dua pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap sepupunya yang bawah umur.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Cindy Mc Juce Balitus, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen, menetapkan tarikh itu untuk lelaki berusia 23 tahun itu apabila pembelaan menutup kesnya selepas memanggil saksi ketujuhnya pada Rabu.
Mahkamah menetapkan 9 Dis untuk pembelaan memfailkan hujahan bertulisnya, 23 Dis untuk pendakwaan memfailkan hujahan bertulisnya dan 30 Dis untuk hujahan jawapan oleh pihak pembelaan, jika ada.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu (kini 15 tahun) dari 2010 hingga 2017 di sebuah rumah di sebuah kampung di Kota Marudu.
Pertuduhan di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Tertuduh atas pertuduhan kedua didakwa meliwat perempuan bawah umur itu dari 2010 hingga 2017 di tempat sama.
Kesalahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Pihak pendakwaan memanggil sembilan saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman tampil untuk pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bernard J. Dalinting. Mahkamah memerintahkan jaminan tertuduh dilanjutkan.
Dalam kes berasingan, dua pemandu dihadapkan ke mahkamah kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Lee Chen Yen, 29, dan Maurice Marcellus, 28, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles melakukan kesalahan itu.
Lee dipenjarakan sehari dan diperintahkan membayar denda RM10,000 atau empat bulan penjara kerana melakukan perbuatan itu jam 12.15 tengah malam 5 Ogos tahun ini di Jalan Bundusan di hadapan Kelab Damai di Penampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang daripada dua tahun dari tarikh sabitan.
Mahkamah turut memerintahkan Lee hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan. Maurice didenda RM4,000 atau enam bulan penjara atas kesalahan yang dilakukan jam 1.22 tengah hari pada 11 Sept, 2018 di Kg Tumpuluon Babagon, Jalan Tambunan – Donggongon, Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 1999) berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara RM1,000 hingga RM6,000 dan liabiliti penjara tidak lebih 12 bulan jika sabit kesalahan. Pegawai Pendakwa Trafik Mohd Firdaus Che Mustafa mengendalikan pendakwaan.