Kota Kinabalu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengutamakan kemudahan sukan luar bandar yang lebih memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, kata Menterinya Datuk Ellron Angin.
Beliau berkata Kementeriannya telah mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja tersebut iaitu penyelenggaraan padang bola sepak, gelanggang sepak takraw dan bola tampar dan seumpamanya di kawasan kampung sebagai sebahagian daripada bajet 2023.
Bagaimanapun, katanya peruntukan itu tidak mencukupi untuk menampung setiap permohonan yang diterima daripada kelab, persatuan atau jawatankuasa di peringkat kampung di seluruh Sabah.
“Setiap kerja penyelenggaraan adalah berdasarkan keutamaan yang tertakluk kepada tahap kerosakan dan keperluan kemudahan sukan yang terdapat di kawasan kampung di seluruh Sabah.
“Dengan kata lain, tiada peruntukan tetap diagihkan kepada setiap kawasan kampung di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan Adun Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang bertanyakan sama ada Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan bagi penyelenggaraan kemudahan sukan di kawasan kampung sebagai sebahagian daripada bajet 2023.
Selain itu, Ellron berkata pada 2022, 62 gelanggang, 11 gelanggang sukan serba guna dan sembilan padang bola sepak telah dibina dan dinaik taraf di seluruh Sabah, termasuk di Nabawan.
Sementara itu, Ellron berkata kementerian akan mengadakan lebih banyak kejohanan sukan di kampung-kampung pada tahun depan untuk menjayakan penggunaan bakat sukan yang lebih menyeluruh.
“Kita sedar kejohanan di sekolah sahaja tidak cukup untuk mencungkil bakat baharu, kerana masih ramai belia yang tidak berjaya ke sekolah menengah mahupun universiti.
“Kita sudah mula mengadakan kejohanan di kampung, baru-baru ini kita buat di Nabawan bagi kategori 12 tahun. Lebih banyak lagi akan dilakukan pada 2023,” katanya.
Ellron menjawab soalan tambahan Abdul Ghani yang bertanya sama ada Kementerian akan mengadakan program pencarian bakat baharu di kawasan luar bandar.