SANDAKAN: Tindakan tegas bakal diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan kepada peniaga yang menyorok bekalan keperluan asas di daerah ini.
Ketua cawangan KPDNHEP Sandakan, Azdy John berkata, tindakan undang-undang mengikut akta akan dikenakan kerana perbuatan sedemikian mengganggu kestabilan pembekalan barangan tersebut kepada pengguna.
Selain itu, beliau juga menegaskan agar peniaga tidak menjual barang keperluan asas bersubsidi terutamanya gula, minyak masak dan tepung (GMT) melebihi dari harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Tolong jangan sorok bekalan sebab bila kita dapat tahu, kita akan kenakan tindakan tegas. Selain itu, jangan jual barang keperluan asas ini melebihi apa yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya memberi amaran.
Azdy ditemui media ketika menjalankan pemeriksaan bekalan barang keperluan di Hypermarket Mydin Sandakan pada Rabu pagi.
Pada masa yang sama, Azdy turut mengesahkan bahawa bekalan barang keperluan berada di tahap mencukupi bagi pengguna daerah Sandakan buat masa kini.
“Bekalan barang keperluan bagi pengguna di Sandakan masih berada di tahap yang memuaskan dan mencukupi menjelang musim perayaan Krismas,” tambahnya lagi.
Beliau turut menggesa pengguna melaporkan kepada pihak KPDNHEP Sandakan sekiranya menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan.
Untuk rekod, pihak KPDNHEP Sandakan berjaya membuat pemeriksaan ke atas 6,482 premis di kawasan bandar dan 2,317 premis di kawasan luar bandar dari 1 Januari sehingga 30 November tahun ini.
Selain itu, nilai rampasan KPDNHEP Sandakan dari 1 Januari sehingga 30 November adalah sebanyak RM4,180,998 manakala nilai kompaun yang dikeluarkan adalah RM26,700.
Untuk tempoh sama, pihak KPDNHEP Sandakan menerima 164 aduan.