KERAJAAN Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membentuk konsensus, melalui konsep Blok Borneo, untuk menyokong kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan yang boleh memberikan kestabilan politik dan faedah kepada kedua-dua negeri.
Ini menjadi mungkin selepas GRS-BN dan GPS muncul sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di negeri masing-masing. Bersama-sama, mereka akan menyumbangkan 36 kerusi kepada pemenang keseluruhan di peringkat persekutuan. GRS-BN memenangi 13 daripada 25 kerusi parlimen di Sabah, manakala GPS memenangi 23 daripada 38 kerusi parlimen di Sarawak.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau dan rakan sejawatannya, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mencapai kata sepakat berhubung perkara itu selepas keputusannya diketahui.
“Abang Johari menelefon saya sebentar tadi dan kami berbincang serta mencapai konsensus bahawa kami mahu bekerjasama sebagai Blok Borneo untuk menyokong kerajaan dibentuk di peringkat Persekutuan yang boleh memberikan kestabilan politik dan manfaat, bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada Sabah dan Sarawak.
“Kami mahukan Kerajaan Persekutuan yang stabil dan sudah tentu untuk kedua-dua Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media yang diadakan di Sri Gaya, Kota Kinabalu, pada awal 20 Nov.
Ditanya Blok Borneo akan bekerjasama dengan gabungan mana, Hajiji berkata Sabah dan Sarawak akan membincangkannya tetapi ia lebih menjurus kepada kerajaan persekutuan yang boleh menyediakan kestabilan politik.
“Kami tidak boleh menyatakannya sekarang kerana kami masih belum mengetahui keputusan rasmi,” katanya.
“Sudah tentu, apa yang saya maksudkan dengan kestabilan ialah apa yang kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan boleh memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak.
“Apa yang kami maksudkan dengan kestabilan adalah apa yang baik untuk Sabah dan Sarawak...akhirnya kita perlu menerima hakikat bahawa bagi kita di Sabah, ia sentiasa Sabah didahulukan.
“Pertimbangan utama sentiasa untuk memastikan apa yang terbaik untuk Sabah, dan mana-mana pihak di peringkat persekutuan yang boleh menawarkan ini kepada kami, kami akan mempertimbangkan dengan serius,” katanya.