Kota Kinabalu: Pemberian Khas untuk Sabah daripada Kerajaan Persekutuan dan warta berkaitannya tidak ada kena mengena dan tidak menggantikan tuntutan Sabah untuk haknya kepada 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Perintah Perlembagaan Persekutuan (Semakan Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) Negeri Sabah) 2022 yang diwartakan hanya untuk membolehkan pembayaran interim pemberian khas itu dibuat kepada Sabah, katanya ketika membuat penggulungan bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Khamis.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan menjelaskan isu berkenaan pemberian khas, tuntutan 40 peratus dan warta yang dibangkitkan Assafal P Alian (Tungku), Datuk Darell Leiking (Moyog), Jamil Hamzah (Bugaya), Norazlinah Arif (Kunak) dan Azhar Matussin (Darau).
Hajiji berkata selama 53 tahun, sejak 1969, Kerajaan Negeri menerima jumlah geran khas statik tanpa sebarang kenaikan iaitu RM26.7 juta setahun.
“Bagaimanapun, di bawah kepimpinan Kerajaan Negeri, berikutan beberapa perbincangan dan rundingan yang telah diadakan, akhirnya April lalu, kita berjaya mencapai kata sepakat di mana bayaran geran khas dinaikkan.
“Saya amat sedar dan tahu kenaikan bayaran kepada RM125.6 juta yang sudah kita terima tahun ini adalah jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa kenaikan bayaran diterima tanpa prejudis atas dasar ia adalah perkiraan sementara dan telah menegaskan hak Kerajaan Negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan sebarang tunggakan akibat kekurangan semakan geran khas sejak 1973.
“Bagaimanapun, bagi membolehkan bayaran interim dibuat, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Semakan Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) Negeri Sabah) 2022 perlu diwartakan,” katanya.
Hajiji yakin Kerajaan Persekutuan akan menunaikan janji untuk terus berunding bersama, apatah lagi Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk di peringkat Persekutuan akan membawa gelombang perpaduan dan keadilan kepada seluruh rakyat Sabah.
“Saya telah menyuara dan mengesahkan pendirian Kerajaan Negeri dalam mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang dinyatakan di bawah MA63.
“Kerajaan Negeri akan memastikan keperluan dan kepentingan kita sentiasa diutamakan dan diperjuangkan,” katanya sambil berharap perkara ini tidak lagi diputar belit kerana boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
“Mari kita berganding bahu dan bekerjasama untuk menuntut hak rakyat Sabah,” katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada Darell dan Assafal, Hajiji berkata sebagai Ketua Menteri beliau berada dalam MKMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Jadi warta tersebut (untuk pemberian khas) adalah bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan membayar geran khas kepada Sabah selama lima tahun, mulai tahun ini sehingga 2026. Tetapi ia bukan warta untuk menghapuskan 40 peratus yang kita tuntut selama ini bersama-sama.
“Dalam mesyuarat itu, saya menjelaskan tuntutan 40 peratus itu tidak ada kena mengena dengan bayaran (geran khas) yang diberikan dan diwartakan. Kita telah mengeluarkan kenyataan bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 14 April 2022 bahawa 40 peratus yang kita tuntut setakat ini tiada kaitan dengan pemberian khas itu,” jelasnya.
Hajiji berkata kerajaan Warisan sebelum ini juga telah membuat perjanjian pada 18 Oktober 2019 dan tuntutan ketika itu jauh lebih rendah daripada jumlah pembayaran yang dibuat sekarang.
“Tetapi disebabkan kerajaan persekutuan ketika itu bertukar dan kerana Kerajaan Sarawak tidak bersetuju, bayaran seperti yang diberikan sekarang tidak boleh dilaksanakan.
“Jadi, apa yang perlu di sini, seperti yang disarankan oleh ADUN Moyog, usaha kita akan diteruskan mengikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat MKMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Sebagai ahli MKMA63, saya ingin menjelaskan bahawa tiada satu pun keputusan untuk menghapuskan 40 peratus itu. Warta (untuk pemberian khas) itu bagi membolehkan kerajaan persekutuan membayar jumlah yang telah ditetapkan oleh mereka,” katanya. “ katanya.
Hajiji juga menjelaskan bahawa beliau juga pernah membangkitkan isu itu semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Dan beliau (Anwar) memberi jaminan akan terus mempertimbangkan secara serius permintaan dan tuntutan Sabah seperti yang termaktub dalam MA63. Itu yang kita sebutkan kepadanya dan mudah-mudahan perkara ini dapat kita realisasikan.
“Saya akan bangkitkan semula masalah ini kerana ini masalah yang sudah terlalu lama dibincangkan oleh seluruh kepimpinan dan rakyat kita di Sabah,” katanya.
Mengenai cadangan Assafal agar Kerajaan Negeri meminta warta (geran khas) dinyahwartakan kerana jumlah pemberian khas itu tidak besar berbanding jumlah 40 peratus daripada pendapatan bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah, Ketua Menteri berkata;
“Jika kita batalkan warta ini sekarang kita tidak akan dapat dibayar (geran khas). Kita tidak akan dibayar selama lima tahun seperti yang dijanjikan.
“Pada saya, itu (isu warta) tidak penting. Sebab warta ini adalah untuk membayar geran khas kepada Kerajaan Negeri. Sedangkan, 40 peratus itu, itu tidak diganggu. Warta itu tidak bermakna tuntutan kita terhadap 40 peratus sudah tiada, tidak pernah disebut dalam mesyuarat MKMA63.
“Jadi, Tungku jangan risau. Sebab kalau kita batalkan warta untuk pemberian khas itu, kita tidak akan dapat geran khas itu. Jadi bagaimana kita nak bagi balik kepada rakyat seperti yang kita umumkan iaitu membina 1,500 unit Rumah Mesra SMJ?
“Saya masih ingat apa yang diputuskan dengan pemberian khas itu, sebenarnya itu juga yang diputuskan oleh kerajaan sebelum ini.
“Saya telah katakan dalam pertemuan pertama saya dengan Perdana Menteri bahawa inilah yang dibentangkan dan beliau (Anwar) berkata beliau akan mempertimbangkan secara serius. Jadi pada saya, tidak ada isu tentang ini, tentang ada banyak lagi atau tentang kita tidak tidak mahu itu dan sebagainya,” katanya.