TAWAU: Perdana Menteri (PM) diharap dapat menambah baik semula barisan kabinet Kerajaan Perpaduan dengan memasukkan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah agar dilihat seimbang dan inklusif.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, penambahan ahli parlimen Sabah mewakili kabinet kerajaan sangat perlu memandangkan geografi negeri ini yang sangat besar dan pembangunannya juga jauh ketinggalan berbanding semenanjung.
Menurutnya, dalam barisan kabinet diumum Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Sabah hanya diberikan dua portfolio kementerian iaitu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
“Kedua-dua wakil dari Sabah itu adalah ahli parlimen yang berada di Pantai Barat Sabah iaitu parlimen Papar dan Penampang.
“Justeru, PM perlu mempertimbangkan pemberian jawatan menteri kepada ahli parlimen daripada Pantai Timur Sabah, khususnya daripada parti Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Dalam pada itu, Andi berkata, Umno Kalabakan menyokong kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meluahkan rasa kesal dengan kabinet baharu kerajaan perpaduan.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata, ketiadaan ahli parlimen BN Sabah dalam barisan kabinet baharu itu seolah-olah menunjukkan parti itu disisihkan oleh kerajaan perpaduan.
Menurutnya, BN Sabah adalah paling awal memberikan komitmen bersama BN pusat untuk menyokong PH pimpinan Anwar untuk membentuk kerajaan.
“Calon-calon BN Sabah juga menunjukkan prestasi yang baik berbanding parti lain apabila berjaya memenangi tujuh kerusi parlimen di Sabah dengan majoriti besar.
“Sepatutnya PM perlu membuat pertimbangan supaya melantik ahli parlimen dalam kalangan BN Sabah bagi mengimbangi komposisi jawatan menteri yang meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.