LAHAD DATU: Lebih 1,300 orang diperiksa dalam operasi besar-besaran di daerah ini yang bertujuan mencegah unsur jenayah rentas sempadan membabitkan pendatang tanpa izin.
Operasi bersepadu dari 1 hingga 6 Dis itu membabitkan pelbagai agensi kerajaan yang diketuai Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Komander Esscom DCP Datuk Hamzah Ahmad berkata seramai 1,331 individu diperiksa dan 205 kenderaan serta 486 rumah diperiksa dalam operasi itu.
“Daripada pemeriksaan ini, 19 pendatang tanpa izin telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk dihantar pulang kemudian,” katanya.
Tambahnya, 26 saman trafik daripada polis dan lima daripada Jabatan Pengangkutan Jalan turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PEMERIKSAAN dijalankan ke atas rumah dan individu.
Hamzah berkata, pegawai penguat kuasa turut merampas rokok seludup bernilai lebih RM2,000.
“Selain itu, 14 notis kompaun dikeluarkan Majlis Daerah atas kesalahan seperti tiada lesen perdagangan dan sambungan elektrik haram di Kampung Panji,” katanya sambil menambah operasi itu membabitkan 80 anggota daripada 15 agensi.
Agensi tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah, Rela, Jabatan Kebajikan, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Majlis Daerah dan Sabah Electricity Sdn Bhd.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut membongkar sambungan elektrik haram di Kampung Panji.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada agensi terbabit, beliau berkata Esscom akan meningkatkan operasi sedemikian bagi menggagalkan sebarang elemen yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Beliau menggesa masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berhubung hal keselamatan kepada pusat operasi Esscom pada talian 089-863181 atau melalui WhatsApp pada talian 011-63311072.