GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) 27 November lalu telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya, selama kira-kira sejam.
Apabila ditemui media selepas pertemuan itu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata GRS berada di situ untuk menyatakan sokongan gabungan itu terhadap kepimpinan Anwar dan pembentukan kerajaan baharu.
“Matlamat utama kami adalah untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan Sabah dan GRS kepada Perdana Menteri,” kata Hajiji sambil menambah bahawa Perdana Menteri amat menghargai tanda sokongan itu.
Ketika ditanya sama ada beliau telah mengemukakan senarai Ahli Parlimen daripada GRS untuk menyertai Kabinet pada mesyuarat itu, Hajiji berkata perkara itu tidak dibincangkan.
Anwar pada Jumaat berkata kerajaan perpaduan telah mencapai majoriti dua pertiga dengan penyertaan GRS.
Hajiji pada hari yang sama berkata sokongan dan penyertaan parti politik Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar akan memastikan kestabilan dan kemakmuran rakyat di negeri itu.
GRS terdiri daripada Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
Rombongan itu terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Datuk Ewon Benedick (Upko), Ahli Parlimen Kota Kinabalu (Dap) Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen GRS.