Kota Kinabalu: Gudang barangan dapur YKL, pengedar alat ganti kereta Honda dan sebuah arena sukan musnah dalam kebakaran di Lorong Kuala Neutron Jalan Tuaran Bypass, di sini, Isnin.
Seorang pengawal keselamatan premis itu, Shafie berkata, kebakaran bermula di kawasan gelanggang bola keranjang arena sukan itu, kira-kira 6.05 pagi.
Arena sukan itu mempunyai gelanggang bola keranjang, pingpong, gelanggang badminton dan gimnisium. Difahamkan pengusaha arena sukan itu menyewa premis berkenaan sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, peniaga alat ganti kereta Honda yang turut mengalami kerosakan telah menyewa premis berkenaan sejak 2018.
Begitu juga, pengusaha gudang barangan dapur YKL berkeluasan kira-kira 20,000 kaki persegi juga telah menyewa premis itu selama lebih dua tahun. Difahamkan mereka mempunyai 10 kakitangan.
Pengusaha YKL mempunyai cawangan di Papar dan Tawau.
Anggaran kerugian belum dapat ditentukan ketika laporan ini disediakan.
Sementara itu, anggota bomba dari Lintas dan Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian susulan panggilan kecemasan pada 6.29 pagi. Kebakaran berjaya dikawal pada 8.20 pagi dan operasi ditamatkan pada 3.35 petang.