Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 50 tahun yang didakwa atas empat pertuduhan merogol seorang pengasuh, akan dibicarakan pada 8-9 Feb tahun depan.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menetapkan tarikh itu bagi tertuduh apabila kesnya dikemukakan untuk sebutan, pada Isnin.
Lelaki itu, bagi pertuduhan pertama hingga keempat, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu pada pukul 12 tengah hari 8 Mei 2021, pukul 4.30 petang pada awal Julai 2021, pada waktu malam pada Julai 2021, dan pada sebelah pagi pada awal Ogos tahun yang sama, di sebuah rumah di Penampang.
Setiap kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara lima dan 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Sze Chuen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh diperintah direman lanjut kerana gagal membayar ikat jamin yang ditawarkan mahkamah kepadanya sebelum ini.