LAHAD DATU: Seramai 548 individu dan 290 premis, termasuk rumah, diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini dari 16 hingga 18 Disember lalu.
Komander Esscom, DCP Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi itu dilakukan sebagai susulan operasi sama yang dijalankan pada 1 hingga 6 Disember lalu.
Katanya, operasi itu dilakukan sebagai usaha membendung unsur tidak sihat dan jenayah rentas sempadan yang berpotensi dibawa masuk Pendatang Tanpa Izin (PTI).
“Sepanjang operasi itu, pemeriksaan fizikal telah dijalankan ke atas 548 individu dan 290 rumah serta premis.
“Pemeriksaan itu membawa kepada penahanan 22 pendatang tanpa izin mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya.
Hamzah dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama strategik antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am.
Operasi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Rela dan Kementerian Kesihatan.
Esscom turut merakamkan penghargaan kepada jabatan dan agensi yang terlibat.
“Esscom akan memperhebatkan operasi seperti ini untuk mengekang sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan awam,” tambahnya.
Sehubungan itu, Esscom menggesa orang ramai untuk menyampaikan sebarang maklumat berkaitan keselamatan di Esszone kepada Pusat Operasi Esscom pada talian 089-863181 atau WhatsApp ke talian 011-63311072.