Kota Kinabalu: Sabah memulakan tahun ini dengan menyambung semula penerbangan pertamanya dari Hong Kong.Penerbangan yang tiba pada Isnin itu dan diraikan dengan majlis sambutan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, membawa masuk 138 penumpang.
Disambung semula oleh AirAsia, laluan HKG-BKI akan beroperasi dua kali seminggu, setiap Rabu dan Ahad, dengan kapasiti 186 setiap penerbangan, dan dengan jumlah kapasiti 372 tempat duduk seminggu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman berkata, “Saya gembira AirAsia akhirnya telah mengaktifkan semula laluan Hong Kong – Kota Kinabalu, menambah satu lagi sambungan antarabangsa ke Sabah.”
“Hong Kong adalah salah satu pasaran sasaran utama kami, dan ini merupakan permulaan baik pada 2023 untuk industri pelancongan kita. Sabah diberkati dengan pulau dan pantai yang indah, menjadikan kita destinasi pilihan bagi pengembara Hong Kong,” tambah Noredah.
AirAsia kini menghubungkan Kota Kinabalu ke lima bandar antarabangsa utama: Singapura, Manila, Bangkok, Taipei dan Hong Kong.
Dengan sambungan semula laluan Hong Kong – Kota Kinabalu, Sabah kini menerima 64 penerbangan langsung antarabangsa setiap minggu. Penerbangan langsung yang lain adalah dari Korea Selatan (29), Singapura (14), Filipina (6), Brunei (5), Taiwan (4), Jepun (2) dan Thailand (2).
Sabah akan terus menambah baik akses ke negeri ini dengan menambah bilangan penerbangan antarabangsa dari bandar-bandar asing utama, katanya.