Kota Kinabalu: Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani berkata, Bahasa bersetuju dengan pandangan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, untuk membincangkan isu Bahasa Inggeris dalam mesyuarat Kabinet supaya keputusan kolektif dapat dicapai.Kata Jasni, perbincangan kolektif itu perlu kerana sekarang isu bahasa bukan keutamaan yang kritikal berbanding isu pembangunan Sabah dan kesepaduan rakyat dalam jajaran politik Malaysia Baharu.
“Saya melihat ini sesuatu yang positif, kerana Bahasa Malaysia di Sabah dari segi sejarah, secara kondusif telah meletakkan kita pada tempat yang betul untuk terus bergerak ke hadapan. Kita tidak mengalami masalah yang kritikkal.
“Malah kita telah bersatu padu dan menjati diri dengan bahasa ini, maka sebarang perubahan mesti ditangani secara berhati-hati, dan mesti mengambil kira pelbagai aspek termasuk hal yang berkaitan dengan perlembagaan dan sistem pendidikan negara kita,” katanya dalam kenyataan, di sini, Rabu.
Beliau mengulas kenyataan Hajiji yang mahu cadangan supaya Bahasa Inggeris diberikan keutamaan, dibincangkan di peringkat kebinet.
Jasni yang juga Penerima Anugerah SEA Write Malaysia 2015 berkata, selama ini pun generasi baharu kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik melalui dasar dan sistem pendidikan yang kita ada, maka tidak timbul keperluan yang mendesak untuk kita menghuruharakan kestabilan dan pencapaian sedia ada dengan isu bahasa.
“Kita negeri pelbagai etnik, pelbagai kaum, dan mempunyai bahasa ibunda masing-masing, kita telah melihat bagaimana peranan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pemersatu yang berkesan di negara kita dan juga sebagai bahasa ilmu yang membuatkan anak-anak kita mampu bersaing bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga di peringkat global. Semua ini perlu diambil kira,” kata Jasni.
Beliau berkata, memang tidak dinafikan peranan Bahasa Inggeris amat penting dalam dunia yang semakin mengecil dan keperluan perhubungan antarabangsa yang semakin menuntut generasi baharu kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, tetapi ini tidak semestinya mengorbankan apa yang kita kandung selama ini.
“Jangan jadi seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikandung pula berciciran. Kita hendak maju dalam pelbagai aspek kehidupan, tetapi bahasa juga selalu menunjukkan siapa kita dan jati diri bangsa kita selepas ratusan tahun terjajah,” kata Jasni.
Jasni berkata demikian juga sebagai mengulas cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, pada Isnin lepas, agar mencontohi Sarawak yang menegaskan supaya Bahasa Inggeris diberikan keutamaan dan dijadikan sebagai bahasa rasmi.
“Bagaimanapun, langkah Sarawak dalam konteks pemerkasaan Bahasa Inggeris sebagai saingan Bahasa Malaysia di negeri itu bukanlah suatu contoh dan alternatif yang baik,” katanya.