Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bersama-sama Think City dan Khazanah Research Institute akan melaksanakan kaji selidik pekebun kecil di seluruh negara.Kaji selidik ini menyasarkan seramai 2,500 pekebun kecil di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meliputi sektor pertanian, ternakan dan akuakultur. Inisiatif ini telah dilaksanakan mulai Oktober 2022 hingga Februari 2023 di enam wilayah di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan tujuan untuk mengenalpasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para pekebun kecil.
Matlamat inisiatif ini juga adalah bagi memahami ekosistem makanan di Malaysia dengan lebih mendalam dan merencana penyelesaian khusus bagi industri ini. Melalui Dana Impak — komitmen oleh Khazanah untuk menyampaikan manfaat sosio-ekonomi kepada rakyat Malaysia dan sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia—diharapkan kerjasama yang berkesan dapat diwujudkan dan kepakaran tempatan dapat dimanfaatkan bagi memastikan kejayaan projek penyelidikan ini dilaksanakan secara menyeluruh.
Rakan-rakan penyelidikan tempatan bagi inisiatif ini termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), O&B Research, Institute for Development Studies, Sabah, Agridata, Penang Institute, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Sektor pertanian global sedang menghadapi pelbagai cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan isu seperti peningkatan kos input, kekurangan tenaga buruh, perubahan iklim, teknologi baharu dan inovasi yang memberi kesan terhadap keselamatan makanan di peringkat global. Malaysia juga tidak terkecuali, dengan isu-isu ini memberi kesan kepada pekebun kecil, yang memainkan peranan penting dalam ekosistem pertanian yang lebih meluas.
Para pekebun kecil sering menghadapi kekurangan akses kepada modal, amat terdedah kepada kesan perubahan sektor pertanian di peringkat global, dan daya tahan serta keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri adalah penting demi kelangsungan sektor pertanian Malaysia. Bagi memastikan para pekebun kecil Malaysia mampu menghadapi tekanan ini, penyelidikan menyeluruh diperlukan bagi membekalkan mereka dengan sumber, pengetahuan dan sokongan yang diperlukan untuk lebih berdaya tahan.
Khazanah mengalu-alukan penyertaan pihak berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta, pengawalselia, institusi akademik, badan pemikir, pertubuhan peladang dan lain-lain bagi menjayakan kaji selidik tersebut.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif ini, orang ramai atau pihak berkepentingan boleh berbuat demikian melalui e-mel kepada danaimpak.food@khazanah.com.my.