LAHAD DATU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu menerima laporan berhubung kehadiran sekumpulan gajah yang memasuki ladang kelapa sawit di Batu 18 Jalan Lahad Datu-Sandakan seperti yang ditularkan di media sosial.
Pegawai Hidupan Liar daerah Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan pegawai dan anggota JHL ke kawasan berkenaan selepas menerima laporan dari orang awam.
Beliau yang dihubungi pada Isnin memberitahu, kumpulan gajah ini berasal dari Hutan Simpan berdekatan dan sering keluar masuk ke kawasan itu.
“Pasukan kita telah mengambil tindakan untuk menghalau gajah-gajah ini kembali ke kawasan Hutan Simpan.
“JHL akan terus memantau kawanan gajah ini dan mengambil tindakan bersesuaian mengikut situasi,” tambahnya.
Ahad lalu, tular sebuah video berdurasi 1 minit dan 25 saat yang menunjukkan kehadiran lebih kurang 15 ekor gajah di satu kawasan ladang kelapa sawit.