Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) dan Kelab Bola Sepak Sabah tidak akan terjejas dengan peletakan jawatan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Presiden Safa.
Setiausaha Agung Safa, Dato Jelani Hamdan memberi jaminan itu pada petang Ahad lalu berikutan pengumuman Bung pada awal hari itu yang memetik keputusannya untuk memberi tumpuan kepada kerjaya politik sebagai alasan beliau meletak jawatan.
Jelani berkata peminat tidak perlu terlalu bimbang perkembangan terkini itu akan menjejaskan persiapan pasukan negeri menghadapi musim baharu.
“Saya sedia maklum terdapat banyak persoalan dan kebimbangan peminat berhubung situasi itu dengan peletakan jawatan Datuk Seri Bung Moktar Radin walaupun kami masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada beliau.
“Namun, sebagai setiausaha agung Safa dan juga pengarah Sabah FC saya boleh memberi jaminan kepada peminat bahawa tiada apa yang perlu mereka risaukan.
“Kami tidak terlibat dalam politik dan situasi politik di negeri ini pada masa ini tidak memberi kesan kepada Sabah FA dan Sabah FC.
“Kami mempunyai pengurusan yang sangat berkebolehan dalam kedua-dua badan untuk menjalankan tugas harian kami terutamanya di Sabah FC di mana semuanya berjalan lancar.
“Pada masa ini kami sedang mencari pemain yang sesuai untuk mempersiapkan pasukan senior dan juga pasukan junior pada musim baharu akan datang,” katanya.
Safa baru sahaja memulakan pencarian pemain di seluruh negeri untuk mewakili mereka dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.
Kira-kira 600 pemain telah hadir setakat ini dengan lebih 200 hadir dalam sesi pemilihan selama dua hari di Kompleks Sukan Beaufort sejak ia bermula pada 6 Januari dan hampir 400 mencuba nasib di Keningau di kompleks sukan pada Ahad.
Bekas jurulatih Badak, Jelius Ating yang mengetuai pemilihan dibantu Burhan Ajui dan yang lain, mengadakan sesi bagi Zon Pantai Timur Selatan di Stadium Tawau pada Isnin (9 Januari).
Sesi pemilihan bagi Zon Pantai Timur Utara akan diadakan hari ini di Kompleks Sukan Sandakan disusuli Zon Tengah di padang pekan Telupid dan SMK Telupid (11 Januari), Zon Pantai Barat Utara di padang Majlis Daerah Kota Marudu dan SMK Bandau (12 Januari), Zon Pantai Barat Timur di Padang Selupu Tuaran dan Padang Pertanian Tuaran (13 Januari) sebelum berakhir di padang Sukma di sini di Likas bagi Zon Pantai Barat pada 14 Januari.