KOTA MARUDU: Pereka fesyen perlu berfikir di luar kotak serta terus gigih berusaha mengasah daya kreativiti, jika mahu kekal berdaya saing dalam perkembangan industri fesyen masa kini.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, pereka fesyen harus berusaha memajukan diri dengan mengetengahkan idea baharu, segar dan berbeza dalam karya mereka, sekali gus tidak meniru koleksi lain.
Menurut beliau, dunia fesyen masa kini menuntut tenaga pereka sentiasa mengasah daya kreativiti ke tahap lebih tinggi bagi menghasilkan sentuhan yang menepati aliran citarasa bersesuaian peredaran zaman.
Beliau berkata, mereka juga perlu ada perancangan masa depan dan mengikut trend semasa bagi mengelakkan daripada ketinggalan dalam bidang fesyen.
“Antara kriteria penting untuk menceburi kerjaya pereka fesyen ialah memiliki minat mendalam, menyukai cabaran, berdaya saing, sanggup bekerja lebih masa, peka akan isu semasa dan bersikap positif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Zandi Tavanus 2023 peringkat daerah Kota Marudu, Kota Belud dan Ranau di Dewan Komuniti Kota Marudu pada Ahad.
Kira-kira 15 peserta menyertai pertandingan tersebut.
Mengulas trend yang diikuti kebanyakan pereka muda iaitu sering mengubah suai atau memodenkan pakaian tradisional, Redonah berkata, tidak ada salahnya untuk menjadi kreatif.
Bagaimanapun, beliau menggesa mereka untuk lebih sensitif dengan budaya dan menghargai etika budaya Malaysia ketika mencipta rekaan pakaian.
“Pakaian tradisional memiliki estetikanya tersendiri sejajar dengan kesopanan dan budi bahasa.
“Namun, generasi muda ketika ini sering mengabaikan persoalan kesopanan yang merupakan bahagian penting bagi setiap budaya,” katanya.
Tambah beliau, pertunjukan fesyen itu akan memaparkan hasil sentuhan pereka fesyen tempatan, yang menyuntik unsur moden dengan gabungan tradisional, dan memperlihatkan kematangan serta pemahaman terhadap unsur batik dengan menyediakan kepelbagaian motif dalam rekaan.
“Saya percaya pereka fesyen mempunyai daya kreatif supaya rekaan mereka dapat ditonjolkan bukan sahaja dalam negeri tetapi juga sehingga peringkat antarabangsa, sekiranya kita ada kemahuan untuk maju ke depan,” jelasnya lagi.
Dalam pertandingan itu gelaran johan jatuh kepada Raimah Yanggitom, sementara tempat kedua menjadi milik Ronniem Talah dan tempat ketiga, Rostina Randang.